Semua keputusan strategik dalam MAHB masih di tangan kerajaan – Fahmi

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menegaskan semua keputusan strategik dalam Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) masih di tangan kerajaan Malaysia.

Ia antaranya dalam urusan menentukan pemilihan jawatan penting termasuk pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan memastikan tiada mana-mana petugas akan dibuang kerja.

Sehubungan itu, Menteri Komunikasi berkenaan berkata, pihak yang “menunggang” isu penyertaan BlackRock Inc dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB adalah satu tindakan politik sempit bertujuan mewujudkan persepsi jahat dalam kalangan rakyat.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mewujudkan “kepalsuan”, malah merupakan a very short sighted approach yang mampu merosakkan perancangan negara.

“Mereka yang cuba menunggang isu ini tidak melihat kepada kepentingan kita menambah baik mutu perkhidmatan di lapangan terbang.

“Sejujurnya, BlackRock tiada kaitan secara langsung dengan perbincangan antara MAHB dan Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat yang dirasakan mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk membantu kita memulihkan dan menambah baik lapangan terbang,” katanya kepada media.

Fahmi berkata demikian ketika hadir memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin, pada proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Nibong Tebal hari ini.

Dalam masa sama, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, BlackRock adalah pelabur institusi dan terbabit sebagai pemegang saham pelbagai syarikat di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia.

Dalam isu penstrukturan semula MAHB, beliau menjelaskan bahawa 70 peratus saham entiti itu dipegang Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan golden share, selebihnya kepada GIP dan tiada saham dijual kepada BlackRock.

Tambahnya, langkah penstrukturan semula MAHB sudah dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri.

Setakat ini, jelasnya, tidak berlaku sebarang percanggahan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan berhubung isu itu dan ia masih boleh dibincangkan sekiranya terdapat masalah.

BACA JUGA Apa dibualkan Maszlee, Mat Sabu semasa berarak di PRK Sungai Bakap?