Calon PN akhirnya buka mulut isu ISO 14001, dakwa ada ‘sedikit silap’
Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail akhirnya tampil buka mulut mengenai pengumuman latar belakangnya yang didakwa memiliki sijil ISO (Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian).
Abidin sejak diumumkan sebagai calon, menerima sindiran pedas selepas diumumkan sebagai eksekutif logistik ‘yang mempunyai sijil ISO 14001 Sistem Pengurusan Alam Sekitar’.
Bercakap kepada media malam tadi, Abidin mendakwa ada ‘sedikit kesilapan’ semasa latar belakangnya diumumkan oleh pemimpin Pas baru-baru ini.
Beliau mengaku sebenarnya sijil ISO tidak pernah diberikan kepada individu, sebaliknya hanya untuk syarikat.
“Itu orang bawa naratif, kita tak nafikan ada sedikit kesilapan.
“Sebenarnya sijil ISO bukan untuk individu, tetapi mana-mana syarikat atau badan-badan berkanun pun perlu ada ISO, piawaian pelanggan itu perlu ada ISO.
“Itu tak ada apa, mereka manipulasi isu saja,” katanya selepas majlis Ceramah Perdana PN malam tadi.
Selain isu ISO 14001, taraf pendidikannya juga menjadi tanda tanya kerana perinciannya tidak ditonjolkan ketika diperkenalkan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau tidak dapat mengelak dari dikritik berikutan dianggap cuba menyembunyikan latar belakang pendidikannya.
BACA JUGA MIC akan berkempen menangkan calon PH, tarik undi masyarakat India