Dr Dzulkefly titip semangat, seru rakan seperjuangan kekal momentum seperti di KKB
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan rakan-rakan seperjuangan agar meneruskan momentum kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Walau hanya satu kerusi di Sungai Bakap, Dr Dzulkefly ingatkan tentang perkara ini
Menjelaskan lebih terperinci mengenai perkara tersebut, beliau berkata momentum yang dimaksudkannya adalah momentum kemenangan Kerajaan Perpaduan sejak beberapa siri PRK sebelum ini.
“Saya ingatkan rakan-rakan bahawa walaupun satu kerusi tidak menentukan jatuh bangkit kerajaan Pulau Pinang atau Kerajaan Persekutuan, namun kita harus teruskan momentum.
“Meneruskan momentum kemenangan sejak Tioman, Pulai, Simpang Jeram, Pelangai dan Kuala Kubu Baharu.
“Meneruskan momentum pembaharuan yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan untuk menjadikan Malaysia lebih kompetitif dan makmur,” tulis beliau di Facebook.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi, muslihat pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menggugat kestabilan politik negara melalui jalan yang tidak demokratik juga harus dimatikan.
“Kita mahu angkat pemimpin yang paling berhak, seseorang yang berhak, mempunyai quwwah(kekuatan) dan amanah (kepercayaan).
“Selain pemimpin yang mampu menjadi ahl al-hal wa al-aqad (pemimpin yang boleh menyelesaikan isu-isu dan membuat keputusan yang bijak).
“Saya percaya Dr Joohari Ariffin, calon nombor satu PRK Sungai Bakap adalah calon terbaik dan selayaknya. Semoga beroleh kejayaan!,” ujarnya.
Pada 6 Julai nanti, PRK Sungai Bakap akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu antara calon PH-BN dan Perikatan Nasional (PN).
Joohari akan menentang bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail, atau Abang Bidin yang mewakili PN.
BACA JUGA PN, KJ dicabar lepaskan jawatan, kontrak dengan syarikat berkait Blackrock