PN, KJ dicabar lepaskan jawatan, kontrak dengan syarikat berkait Blackrock

Perikatan Nasional (PN) dicabar untuk menyatakan pendirian secara rasmi terhadap syarikat Blackrock dan melepaskan semua jawatan serta kontrak mereka berkait dengan firma itu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan mendakwa, ada dalam kalangan anggota PN yang menerima gaji dari syarikat berkaitan Blackrock. 

Tetapi hari ini katanya, PN sedang menjadi kumpulan “terpaling” Palestin sekaligus menunjukkan hipokrasi tahap tertinggi dalam tindakan mereka.

“Kami mencabar PN nyatakan pendirian mereka secara rasmi dan melepaskan sebarang jawatan dan kontrak yang berkaitan dengan Blackrock jika mereka benar-benar komited dengan pendirian mereka. 

“Sebagai contoh, Khairy Jamaluddin, jika beliau benar-benar menentang penglibatan Blackrock, beliau juga harus melepaskan sebarang jawatan dan kontrak yang berkaitan dengan syarikat tersebut.

“Ini akan menunjukkan konsistensi dan komitmennya terhadap prinsip yang beliau nyatakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, seorang individu mendedahkan bahawa banyak syarikat di negeri PN, contohnya yang mengendali lombong emas di Kelantan mempunyai saham Blackrock. 

Hotel di Terengganu baru buka tahun ini juga dikatakan ada saham Blackrock. 

Individu terbabit turut mendedahkan bahawa Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Pengarah CGS International pada March 2024 di mana Blackrock memegang saham dalam CGS.

Individu tersebut turut mempersoal bagaimana muka Khairy boleh terpampang dalam iklan promosi Vida Malaysia. Difahamkan Blackrock mempunyai pegangan saham dalam syarikat induk Vida Malaysia yang berpangkalan di Jepun, DyDo Group Holdings, Inc.

Sementara itu Ammar menjelaskan bahawa dalam urusan terbaru melibatkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kerajaan sebenarnya hanya berurusan dengan Global Infrastructure Partners (GIP) sahaja.

Keputusan itu dibuat oleh Khazanah Nasional Berhad berdasarkan penilaian strategik dan kepakaran profesional untuk memajukan aset negara. 

“Paling ironi sewaktu mereka berkuasa, dana syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak USD 600 juta (sekitar RM 2.43 bilion) telah diserahkan kepada Blackrock tiada pula bantahan daripada mereka ketika itu.

“Hakikatnya, kekejaman Zionis Israel adalah isu yang melatari dunia sejak berdekad-dekad lamanya, begitu juga dengan penglibatan perniagaan Blackrock dengan Amerika dan Israel. 

“Mengapa waktu itu nada mereka berbeza? Dan mengapa pula mereka hari ini menjadi “terpaling” Palestin namun tidak semasa mereka berkuasa,” soalnya.

BACA JUGA ‘Orang Sungai Bakap, tak perlu pening-pening’