Dewan Rakyat lulus usul heret Wan Saiful ke Jawatankuasa Khas Parlimen
Usul untuk mengheret Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen diluluskan dengan undi majoriti di Dewan Rakyat hari ini.
Ia berikutan dakwaan Wan Saiful ketika sidang Dewan Rakyat 21 Mac lalu bahawa beliau ditawarkan oleh seseorang untuk ‘membatalkan’ pertuduhan yang dihadapinya jika menyokong Perdana Menteri.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentang usul itu berkata, kenyataan Wan Saiful secara tersirat mendakwa ada individu dalam kerajaan, boleh memanipulasi untuk membatal atau menggugur pertuduhan kes mahkamah terhadap dirinya.
Selepas usul dibentang dan dibahas, semua Ahli Parlimen pembangkang bangun meninggalkan dewan ketika undian suara dilakukan.
Berdasarkan usul yang dibaca Azalina, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen akan membuat penentuan sama ada kenyataan tersebut mengelirukan Dewan serta merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes terbabit.
Sementara itu Wan Saiful dalam sidang media di lobi Parlimen berkata, beliau tidak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak percaya kepada integriti agensi berkenaan.
“Cuba bayangkan kalau saya pergi SPRM, agak-agak siapa yang kena tahan. Saya terus terang saya sebut, saya tiada kepercayaan kepada institusi SPRM,” ujarnya.
BACA JUGA Patutlah Sanusi marah Akmal lawat LRA Kedah, rupanya tembelang dah pecah?