Lagi stesen minyak kantoi bersekongkol biarkan RON95 diseleweng

Seorang pemilik stesen minyak di Tanah Merah, Kelantan dan dua lelaki ditahan pasukan penguat kuasa selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyelewengan petrol.

Perbuatan itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menghidu kelakuan mencurigakan sebuah pemilik kenderaan yang berulang kali membuat pengisian di beberapa stesen minyak di daerah itu.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di stesen minyak di Kampung Chedok, selepas disyaki menyeludup bahan subsidi kerajaan itu. 

Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, pihaknya mengesan sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki yang membuat pengisian berulang di beberapa stesen minyak sekitar 6 petang.

Kenderaan itu kemudiannya ditahan dan pemeriksaan lanjut menemui 75 liter petrol dalam sejumlah tong plastik dalam kereta terbabit.

“Barang kawalan itu disyaki untuk diseludup ke Thailand menerusi lorong tikus yang terdapat di sekitar Bukit Bunga,” katanya semalam.

Azman berkata, dua lelaki itu termasuk pemilik stesen minyak yang berusia 40-an ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, masih ada yang ingkar arahan tidak dibenarkan pengisian berulang dalam tempoh kurang satu jam bagi kenderaan sama dan pihaknya membuat pemantauan rapi berhubung perkara itu.

Sebanyak 48 daripada 245 stesen minyak di Kelantan berada dalam radius 25 kilometer (km) dari sempadan diberi perhatian bagi mengelak pembelian berulang petrol RON95.

“Kami mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan pemantauan dan rondaan pencegahan ketirisan barang kawalan di stesen-stesen minyak yang terletak berhampiran sempadan negara.

“Amaran keras diberikan kepada individu yang terbabit dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan malah tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.

BACA JUGA Dr Dzulkefly titip semangat, seru rakan seperjuangan kekal momentum seperti di KKB

Â