Semua menteri DAP tak pernah ajak Pas sertai kerajaan – Guan Eng

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menafikan khabar angin mendakwa kononnya Kerajaan Perpaduan sedang berbincang dengan Pas untuk menyertai kerajaan Persekutuan.

Katanya, beliau sendiri telah berjumpa dengan menteri-menteri DAP dan kesemua mereka menyatakan bahawa perkara ini tidak pernah dibincangkan di peringkat tertinggi.

Malah kata Guan Eng, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak pernah menyentuh apa-apa isu berkaitan ‘perbincangan dengan Pas’ ketika sesi taklimat khas yang diadakan sebelum persidangan Dewan Rakyat kepada barisan Ahli Parlimen kerajaan.

“Sebaliknya, beliau menekankan rasa tidak puas hati dengan tindakan mempolitikkan pelaburan kerajaan oleh pembangkang.

“Terutamanya apabila mengheret isu BlackRock ke dalam perolehan MAHB oleh Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, negara seperti Arab Saudi juga mempunyai hubungan dengan BlackRock. 

Sekiranya logik seperti ini yang mahu digunakan, maka Malaysia perlu memutuskan sepenuhnya hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat kerana memberikan sokongan terhadap Israel. 

“Ini sudah tentu tidak masuk akal.

“Jelas sekali pihak yang cuba membuat tanggapan kononnya DAP terlibat dengan usaha untuk membawa Pas ke dalam kerajaan Persekutuan mempunyai niat menipu untuk memburukkan imej parti,” ujarnya lagi.

Pihak-pihak ini kata Guan Eng, jelas lupa peranan jahat yang digerakkan sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-15, bagaimana terdapat gerakan dan usaha mereka bagi meletakkan Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan menandatangani Akuan Berkanun yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Maka, pihak-pihak yang berada di dalam kerajaan perpaduan mesti berhenti menyampaikan khabar angin yang akan mengelirukan rakyat terutamanya apabila kita sedang menghadapi Pilihan Raya Kecil yang sukar.

“Jika tidak, mereka ini ibarat talam dua muka bagi Kerajaan Perpaduan, sedangkan hati mereka sebenarnya masih terpaut di luar,” katanya.

BACA JUGA Dewan Rakyat lulus usul heret Wan Saiful ke Jawatankuasa Khas Parlimen