Garis panduan, kod etika AI diteliti dua kementerian

Dua kementerian sedang meneliti dan membangunkan garis panduan dan kod etika bagi pembangunan dan pelaksanaan kecedersasan buatan (AI) atau Kod Etika dan Pentadbiran Kecerdasan Buatan (AIGE).

Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, pihaknya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membangunkan kod etika itu sebagai langkah pengawalseliaan pembangunan dan adaptasi teknologi AI yang bertanggungjawab.

Jelasnya, dokumen berkenaan menggariskan panduan khusus berkaitan adaptasi AI yang turut menitikberatkan prinsip-prinsip yang selari dengan kehendak agama, budaya, identiti dan perundangan negara.

“Setakat ini, terdapat Jawatankuasa Blockchain dan Kecerdasan Buatan Negara atau National Blockchain and Artificial Intelligence Committee (NBAIC) yang diterajui oleh MOSTI.

“Ia bertanggungjawab dalam menetapkan hala tuju strategik, menyelaras serta memantau inisiatif dalam Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021 – 2025.

“Melalui Jawatankuasa Kerja berkaitan Perundangan dan Etika, urusan merangka penyelesaian perundangan yang mengekang pembangunan inovasi teknologi AI akan dilaksanakan mengikut prinsip dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Gobind menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Mengulas lanjut, Gobind berkata, Kementerian Digital juga sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan agensi-agensi Kerajaan lain dalam memastikan penggunaan teknologi AI yang beretika dan selamat.

“Khususnya alam penciptaan kandungan kerana teknologi AI mempunyai potensi besar untuk merevolusikan industri kandungan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai AI Talent Roadmap 2024-2033, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pula berkata, pelan tindakan itu selari dengan usaha kerajaan dalam menerokai peluang ekonomi baharu dengan menyediakan bakat negara yang mencukupi.

Ujarnya, kerajaan akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan kementerian lain melalui beberapa tindakan antaranya, Pembangunan Bakat di bawah Jawatankuasa Blockchain dan Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NBAIC) yang diterajui oleh KPT, di dalam Jawatankuasa Kerja Ketiga (JK3).

“MOSTI menerusi program pembangunan bakat professional berusaha untuk mencapai 200 sasaran menjelang tahun 2025,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng).

BACA JUGA Dari lawak ISO dan Blackrock: Jadikan anak muda ‘kaum intelektual’ lawan ‘kaum Pandir’

Â