Isu BlackRock: ‘Mengapa 2021 boleh, sekarang tak boleh…’ – PM

Perdana Menteri menegaskan usaha sama BlackRock pada 2021 dengan pelaburan dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kini mempunyai konteks berbeza.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam kes MAHB tidak pernah ada rundingan secara terus dengan BlackRock tidak seperti 2021 di mana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) runding secara terus dengan BlackRock.

“Pada 2023, KWSP dan Khazanah (selaku pemegang saham MAHB) hanya melakukan rundingan bersama GIP (Global Infrastructure Partners) dan ia berbeza dengan naratif di luar.

“Pihak Konsortium juga menjelaskan bahawa BlackRock tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung MAHB.

“Pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan mereka, termasuklah MAHB seandainya transaksi ini dimuktamadkan nanti,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar Ibrahim

Beliau menjelaskan pemilihan BlackRock oleh KWSP sebagai salah satu pengurus dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Menurutnya, menerusi peruntukan itu, KWSP menubuhkan tiga dana SMA bernilai AS$200 juta setiap satu yang akan dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian – BlackRock, HarbourVest Partners LLC dan Partners Group AG.

Usaha tersebut, kata Perdana Menteri telah bermula sejak 2018 sebelum dilancarkan oleh KWSP pada 2021.

“Kita diserang sekarang (dalam isu pelaburan BlackRock) termasuk oleh rakan di sebelah sana (pembangkang)… dia lupa keputusan penting (dibuat ketika jadi kerajaan) beri peranan kepada BlackRock pada 2021.

“Apa keputusannya, KWSP menyerahkan Akaun Terurus Berasingan (SMA) bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh syariah pertama dan terbesar di dunia kepada BlackRock. Tahniahlah dan jumlahnya AS$600juta bersamaan RM2.5 bilion.

“Kalau (dalam isu) BlackRock ini (dilihat) soalnya mengapa 2021 boleh buat, tetapi sekarang tak boleh.

“Inilah yang menjadi masalah, (apakah) hukum berubah ikut keadaan,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA MAHB tidak pernah dijual kepada pihak asing – PM