Khairuddin diambil keterangan SPRM esok
Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akan memberikan kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.
Ia ekoran laporannya berhubung salah laku membabitkan bekas Peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Keterangan suami kepada pelakon Datin Sri Umie Aida itu dilapor akan diambil di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12 tengah hari.
“Untuk tujuan ini saya sudah mengesahkan untuk hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Saya juga sudah membuat laporan kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) Ahad (23 Jun) lalu serta dirakamkan kenyataan oleh pegawai penyiasat PDRM pada hari sama,” katanya menerusi kenyataan.
Khairuddin berkata, salah laku bekas Peguam Negara itu tidak boleh dipandang ‘remeh’ kerana beliau menyalahgunakan kuasa pada waktu itu untuk bersubahat dan seterusnya cuba menutup kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan berkata, disebabkan skandal itu, kerajaan dan rakyat terpaksa menanggung bebanan hutang berjumlah RM35 bilion.
“Sekali lagi saya beriltizam untuk memerangi salah laku dan jenayah ‘kolar putih’ yang dilakukan oleh Tan Sri Apandi Ali secara habis-habisan.
“Pada hemat peribadi saya, Tan Sri Apandi Ali harus didakwa kerana menyalahgunakan kuasa dan tidak berkhidmat secara profesional serta amanah ketika beliau menjawat jawatan Peguam Negara,” katanya.
Tambah mantan ahli UMNO dan Bersatu itu lagi, sikap serta perbuatan Apandi itu amat merugikan dan membebankan bangsa serta negara.
BACA JUGA MAHB tidak pernah dijual kepada pihak asing – PM
Â