Altimet mahu sumbang separuh kutipan royalti bayar denda Selangor FC

ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet mahu menyumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek miliknya tahun ini kepada Selangor FC.

Ia bagi membantu Skuad Gergasi Merah itu yang didenda RM100,000 Liga Bolasepak Malaysia (MFL), kerana tidak hadir perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

“Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu bayar denda ni, jika Selangor FC sudi,” kata penyanyi rap itu di akaun X miliknya.

Dalam ciapan itu, pelantun lagu ‘Kalau aku kaya’ itu turut menyertakan tanda pagar #Selangorsampaimati.

Perkara tersebut menuai banyak perhatian penyokong Selangor FC yang menyokong inisiatif dibuat Altimet.

Dalam hantaran berlainan, Altimet menyatakan sokongannya kepada ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid yang menyatakan hasrat menganjurkan ‘big screen’ perlawanan antara Selangor dan JDT.

“Kasi jadi, YB,” katanya membalas ciapan Danial.

Menurut laporan, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan dimainkan tanpa penonton.

MFL dalam kenyataan memaklumkan kesemua keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat, bagi membincangkan kes Selangor tidak hadir pada aksi Sumbangsih menentang JDT yang sepatutnya berlangsung 10 Mei lepas.

Bagaimanapun, MFL tidak menyatakan tarikh berkuat kuasa kesemua denda itu dan sekiranya terdapat ruang buat Selangor membuat rayuan.

BACA JUGA Menteri Kewangan 2 sekolahkan bekas menteri cara uruskan negara