Baju kontinjen negara mengecewakan, MOM pertimbang bagi peminat buat rekaan di temasya seterusnya

Susulan ketidakpuasan hati rakyat Malaysia terhadap pakaian kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan pihaknya tidak akan membuat sebarang perubahan terhadap rekaan baju tersebut.

Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin bagaimanapun berkata, selepas melihat banyak komen negatif di media sosial, beliau mempertimbangkan untuk membuka peluang kepada rakyat Malaysia membuat rekaan baju di temasya berikutnya.

Katanya, beliau juga telah menghubungi Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Norza Mohamad mengenai cadangan itu.

“Pertamanya, saya tak nampaklah teruk sangat dengan baju ini semua, kalau kita tengok kena bersyukur.

“Tetapi selepas membaca semua komen semua netizen semalam saya menghubungi presiden OCM, Tan Sri Norza (Mohamad) dan beliau pada dasarnya bersetuju untuk temasya berikutnya kita buka kepada peminat untuk mereka baju.

“Kita buka rekaan kepada peminat untuk buat, kita akan pilih dan mungkin bagi sagu hati,” katanya.

Ketika saingan Olimpik hanya berbaki 31 hari lagi, Hamidin berharap semua pihak terus memberi sokongan kepada kontinjen negara dan tidak memperdebatkan isu itu.

Tegas Hamidin, apa yang penting ketika ini pemburuan emas di Olimpik lebih menjadi keutamaan berbanding rekaan pakaian rasmi kontinjen negara.

“Kita sudah setuju dengan Yonex (pengeluar pakaian rasmi) untuk tunjuk warna gold (emas) sebabnya kita pakai warna oren sudah lama sejak 2004 lagi, jadi ramai atlet sebelum ini minta MOM untuk tukar warna lain.

“Jadi MOM sudah sepakat dengan Yonex untuk tukar kepada warna emas kerana maknanya sasaran kita adalah emas. Kita ambil aura warna emas itu. Yonex turut berpendapat warna emas padan dengan warna hitam.

“Kalau warna cantik tapi tidak dapat emas atau pingat tidak guna juga. Keutamaan kita sekarang adalah emas,” katanya kepada media semalam.

BACA JUGA Altimet mahu sumbang separuh kutipan royalti bayar denda Selangor FC

Â