Jangan pernah manipulasi duit derma, Menteri Agama tegur siapa?

Sejak kebelakangan ini, banyak pihak membongkar kegiatan salah guna derma orang ramai yang dilakukan individu tertentu.

Beberapa hari ini, menantu kepada seorang Ahli Parlimen Pas didakwa menggunakan platform kutipan derma untuk perniagaan miliknya sendiri.

Lebih mengejutkan, platform itu turut didakwa menggunakan pempengaruh untuk menarik lebih banyak derma dari orang ramai.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengingatkan kepada semua aktivis atau  personaliti media sosial diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan memanipulasi kutipan derma untuk mengaut keuntungan.

Mohd. Na’im berkata, mana-mana pihak perlu sedar bahawa hukuman dan azab daripada Allah S.W.T jika ambil harta orang lain itu amatlah pedih.

“Saya akui rakyat Malaysia sangat pemurah termasuk dalam soal membantu dan menderma. 

“Namun, pada masa sama kita kena hati-hati dan kita tak nak sifat dermawan itu dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Kita kena ingat apa yang kita ambil dari harta orang lain dan jika kita tak sampaikan dengan niat dan tujuan, hukuman dan azab daripada Allah SWT itu amat pedih,” katanya kepada media malam tadi.

BACA JUGA JAIS arah semua masjid, surau di Selangor tidak undang Ustaz Don ceramah agama