Perlukah PRK DUN Selat Klang? Ini penjelasan Abdul Rashid

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari berpendapat bukan satu keperluan untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi diwakilinya.

Mantan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu juga memberitahu tetap akan hadir seperti biasa ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 minggu depan kerana belum ada keputusan berkait notis pengosongan kerusi itu.

“Kalau tanya saya sekarang, sebenarnya tidak perlu diadakan PRK. Saya sudah memberikan penjelasan kepada penduduk/pengundi di kawasan, mereka faham dengan keadaan saya dan mereka ada yang menyokong.

“Ada juga orang-orang Pas yang mengatakan saya patut sokong kerajaan atas sebab-sebab (pernah dinyatakan sebelum ini).

“Jadi, pada saya keadaan di Selat Klang adalah seperti biasa dan tidak perlu ada PRK kerana bukan saja membabitkan perbelanjaan yang besar dan sebagainya, tetapi tidak perlu dari segi keadaan politik semasa,” katanya, dipetik BH.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, kes beliau tidak sama dengan kes di Kelantan, kerana seperti umum sedia maklum, Speaker DUN Kelantan membuat keputusan tanpa memberi peluang kepada ADUN berjumpa dan berbincang dengannya.

Pada 21 Jun lalu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan notis bertulis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang kepada Speaker DUN, Lau Weng San.

Azmin berkata, penyerahan notis itu dibuat menurut Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 ketika mengadakan pertemuan dengan Weng San.

Tegasnya, status Abdul Rashid yang tidak lagi menjadi ahli Bersatu menjadikannya terhenti menjadi ADUN Selat Klang dan kerusi tersebut hendaklah dikosongkan.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid yang mengadakan pertemuan dengan Speaker DUN Selangor kira-kira jam 11 pagi tadi dilapor berkata, Weng San dijangka membuat keputusan berhubung status beliau dalam tempoh persidangan minggu depan.

“Ketika ini saya akan teruskan tugas saya sebagai ADUN dan masih lagi menganggap diri sebagai ahli Bersatu kerana notis yang diberikan kepada saya tidak berkesan atau efektif kerana notis yang diberi di bawah Fasal 10(4) dan 10(5) di bawah Perlembagaan Bersatu hanya berkuatkuasa pada 1 April 2024.

“Pada saya, dari segi undang-undang, Bersatu tidak boleh menggunakan pindaan itu untuk mengambil tindakan terhadap saya kerana ia tidak boleh digunapakai kerana tindakan saya menyokong kerajaan negeri adalah sebelum pindaan dibuat.

“Pada 4 Julai nanti, saya akan hadir di sidang DUN seperti biasa, seperti kata Speaker ‘business as usual’.

“Jadi, tidak akan dipindahkan kerusi saya, saya akan duduk di tempat yang sedia ada.

“Pada masa ini, itulah keputusan yang dibuat oleh Speaker,” kata Abdul Rashid lagi.

BACA JUGA Jangan pernah manipulasi duit derma, Menteri Agama tegur siapa?

Â