Ramlan Harun kini Pengerusi SPR baharu

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Ramlan Harun dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Ramlan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Seri Ramlan Harun sebagai Pengerusi SPR.

“Pelantikan ini berkuat kuasa mulai 26 Jun 2024,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ramlan, 60, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Tanah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Perumahan dan Bangunan daripada Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dan pernah berkhidmat di beberapa kementerian, jabatan serta pentadbiran di peringkat negeri.

Pelantikan Ramlan sebagai Pengerusi SPR yang baharu adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas empat tahun mengetuai badan suruhanjaya berkenaan.

BACA JUGA Baju kontinjen negara mengecewakan, MOM pertimbang bagi peminat buat rekaan di temasya seterusnya

Â