Cadangan pindaan Perlembagaan gubal undang-undang jenayah Islam dibentang akhir tahun

Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memperjelaskan kuasa-kuasa negeri untuk menggubal undang-undang jenayah Islam akan dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akhir tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, perkara itu akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Jelasnya, selepas 22 kali bersidang, buat pertama kalinya, jawatankuasa khas berkenaan akan membincangkan semua isu-isu berkaitan, termasuk pertindihan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

“Merujuk kepada pindaan Perlembagaan, ia juga dalam skop perbincangan oleh jawatankuasa khas ini. Namun begitu, ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Kita akan cuba usahakan untuk memberikan penyelesaian yang baik di mana ia akan dibentangkan sebelum akhir tahun,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Zulkifli menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah status dan perkembangan terkini mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-undang untuk mengkaji kes Nik Elin serta Jawatankuasa bagi mengkaji isu berhubung kalimah Allah.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam usaha memartabatkan undang-undang Islam mengikut kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, jawatankuasa khas itu ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal mengenai isu kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Kertas maklumat gerak kerja jawatankuasa khas ini sudah dibentangkan dalam MKI ke-71 pada 15 Februari lalu dan mesyuarat diadakan secara berkala.

“Ia akan menyediakan laporan hasil kajian dan pandangan terhadap semua isu berbangkit, dalam tempoh tidak melebihi setahun,” kata Zulkifli lagi.

BACA JUGA Malaysia bakal terima kembali aset lebih AS$100 juta dari Jho Low

Â