Jualan diesel menurun bukti subsidi memang disalahguna, kata Fuziah
Pola penggunaan diesel sejak kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api itu merekodkan penurunan sehingga 30 peratus, iaitu setara dengan pengurangan sebanyak 8 juta liter sehari.
Mengulas hal itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN), Fuziah Salleh yakin penurunan jualan secara mendadak itu memberi petunjuk bahawa diesel telah disalahguna selama ini.
“Sejak dari penyasaran subsidi, terdapat perubahan besar dalam pola penggunaan diesel di Malaysia. Pada saya, ini menunjukkan bahawa diesel yang disubsidi sebelumnya telah disalahgunakan.
“Di samping itu, stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia mengalami penurunan 40 peratus dalam jualan diesel.
“(Ini) menunjukkan bahawa penyeludupan ke negara jiran adalah isu yang besar,” katanya di Facebook.
Fuziah berkata, Perdana Menteri menekankan bahawa matlamat utama dasar rasionalisasi subsidi diesel adalah untuk memastikan bahawa pembaziran subsidi tidak lagi berterusan dan memastikan potongan perbelanjaan memberi manfaat kepada populasi yang lebih luas.
Media sebelum ini melaporkan jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40 peratus sejak kerajaan mengumumkan pengapungan harga subsidi diesel.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah penyasaran subsidi bermula 10 Jun lalu menyaksikan jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel, berbanding minggu sebelum pengumuman.
Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
BACA JUGA ADUN Pas ‘berani mati’, buat 5 fitnah dalam 3 minit berceramah