Setpol PM sampaikan pesanan Anwar kepada pengundi muda di Sungai Bakap 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak akan turun berkempen di Sungai Bakap, menitipkan pesanan agar pengundi muda memberi peluang kepada calon Kerajaan Perpaduan.

Perkara tersebut disampaikan Setiausaha Politik Kanannya Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Shamsul berkata, calon Kerajaan Perpaduan akan dapat memastikan lebih banyak program dan pembangunan dari segi infrastruktur dapat dilaksanakan dengan tuntas di Sungai Bakap.

“Sekarang Kerajaan Negeri Pulau Pinang selari dengan Kerajaan Persekutuan… bantulah kerajaan negeri, Perdana Menteri, untuk mengangkat calon yang boleh membantu,” katanya kepada media hari ini.

Beliau turut memberitahu Anwar cukup prihatin dengan kawasan Sungai Bakap yang merupakan tempat lahir Perdana Menteri ke-10 itu.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu sentiasa memberikan tumpuan kepada masyarakat setempat di kawasan berkenaan, antaranya peruntukan RM7 juta bagi pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan yang diumumkan pada 16 Julai tahun lalu.

Dr Joohari Ariffin (PH) dan Abidin Ismail (PN) bersaing dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai ini, susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

BACA JUGA Sehari selepas titah murka Sultan, MFL buat ‘U-turn’ ubah denda Selangor FC