Selepas lebih 70,000 tan digugurkan di Gaza, AS tangguh hantar bom ke Israel

Selepas Israel menggugurkan lebih 70,000 tan bom di Semenanjung Gaza sejak Oktober lalu,
Amerika Syarikat (AS) mengekalkan penangguhan penghantaran bom berat ke Israel sehingga isu itu dikaji semula.

Menurut seorang pegawai kanan AS, lapor Reuters, perkara itu dimaklumkan pembantu utama Presiden AS, Joe Biden, kepada ketua pertahanan Israel yang melawat AS minggu ini, pada taklimat media.

Jelasnya, ketika taklimat mengenai pertemuan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, AS masih dalam perbincangan mengenai penghantaran tunggal bom berat.

Penghantaran bom berat dihentikan sementara oleh Biden pada Mei kerana bimbang ia boleh menyebabkan lebih banyak kematian orang awam Palestin di Gaza.

Memetik Reuters, tanpa memberikan butiran khusus, pegawai itu berkata, senjata AS yang lain akan terus dikirim ke Israel ketika ia memerangi Hamas di Gaza dan berdepan dengan pejuang Hizbullah di sempadan utara Lubnan.

Perang di wilayah terbabit kini semakin meningkat dan mencetuskan kebimbangan konflik serantau yang lebih luas di Asia Barat.

Gallant yang sudah dilihat tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengenai peperangan di Gaza ketika mengakhiri lawatannya berkata, terdapat kemajuan ketara dalam isu bekalan senjata AS kepada Israel, sambil menambah bahawa ‘halangan telah pun diatasi’.

Dia dan pegawai AS giat berusaha meredakan ketegangan ekoran dakwaan Netanyahu, baru-baru ini bahawa Washington telah menahan bekalan senjata.

Mei lalu, AS telah menghentikan penghantaran bom seberat 2,000 paun (900 kg) dan 500 paun kerana bimbang akan kesannya di kawasan berpenduduk padat di Gaza dalam perang yang bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober.

Walau bagaimanapun, rejim ganas zionis itu masih menerima senjata-senjata lain daripada AS yang bernilai berbilion dolar.

Untuk rekod, Israel sudah menggugurkan lebih 70,000 tan bom di Semenanjung Gaza sejak Oktober lalu, jauh mengatasi jumlah yang digugurkan di Dresden, Hamburg dan London semasa Perang Dunia Kedua.

“Kami dalam perbincangan di peringkat akhir untuk mencari penyelesaian mengenai pembekalan senjata dan bom kepada Israel,” kata pegawai kanan AS.

Dalam masa sama, pegawai berkenaan mengakui terdapat ‘masalah’ dalam beberapa penghantaran senjata ke Israel.

Pegawai tersebut mengaitkan keadaan itu dengan ‘sistem birokrasi yang rumit’ untuk meluluskan bantuan ketenteraan, dan bukan sebarang kelewatan yang disengajakan.

Gallant, yang turut bertemu Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin, berkata AS sedang giat berusaha untuk mencapai perjanjian diplomatik bagi meredakan ketegangan di sempadan Israel-Lubnan antara tentera Israel dan pejuang Hizbullah disokong Iran.

Sebelum ini, Gallant secara terbuka mempersoal kewajaran Netanyahu mengarahkan tentera Zionis kembali menyerang kubu pejuang Hamas di kawasan yang dianggap sudah ‘dibersihkan’ beberapa bulan yang lalu.

Menteri Pertahanan Israel itu juga tidak bersetuju jika Israel menubuhkan kerajaan tentera di Gaza.

Pendirian Gallant itu turut disokong dua bekas jeneral tentera yang mempunyai pandangan politik sederhana dalam Kabinet, iaitu Benny Gantz dan Gadi Eisenkot.

Namun kenyataan Gallant itu bagaimanapun dikutuk oleh parti nasionalis haluan kanan berteraskan agama yang diketuai Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Itamar Ben-Gvir.

Di Tel Aviv pula, Netanyahu berterusan berdepan dengan siri demonstrasi yang mendesaknya supaya berundur dengan protes anti-kerajaan besar-besaran memuncak menuntut kira-kira 130 tebusan yang masih berada di tangan pejuang Hamas dikembalikan.

BACA JUGA ADUN Pas ‘berani mati’, buat 5 fitnah dalam 3 minit berceramah

Â