Selepas Sultan Selangor murka, Hamidin mohon perkenan menghadap

Selepas Sultan Selangor murka, Datuk Hamidin Mohd Amin akan menjelaskan mengenai perkara berkaitan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di hadapan baginda.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata, dia telah pun menghubungi pihak Istana Selangor mengenai pertemuan untuk menghadap Sultan Sharafuddin.

“Saya maklum dengan dukacita Tuanku Sultan Selangor mengenai perkara terbabit iaitu keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan saya sudah menghubungi pihak istana, semalam untuk pertemuan menghadap Tuanku Sultan.

“Saya susuli hari ini dengan warkah untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor. Insya-Allah, saya akan cuba dapat selesaikan untuk bertemu Tuanku Sultan Selangor dan memberi penjelasan,” kata Hamidin.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli FAM khususnya Hamidin berhubung kes ketidakhadiran SFC ke perlawanan Sumbangsih, 10 Mei lalu.

Menerusi titah kenyataan, baginda turut terkejut kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara sedangkan beliau sebelum ini adalah bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak negeri serta penerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada baginda.

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

“Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim. Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama.

“Disebabkan itu, beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Sumbangsih kepada pihak lawan,” titah Sultan Selangor.

BACA JUGA Malaysia bakal terima kembali aset lebih AS$100 juta dari Jho Low

Â