Keyakinan rakyat kepada Malaysia meningkat mendadak, faktor utama Anwar Ibrahim

Memasuki dua tahun pentadbiran diterajui Kerajaan Perpaduan, keyakinan rakyat terhadap kerajaan meningkat dengan sangat baik membolehkan Malaysia berada di kedudukan ketujuh negara paling dipercayai.

Dapatan itu adalah hasil dari kaji selidik Barometer Kepercayaan Edelman 2024 yang membabitkan tinjauan ke atas 28 negara.

Firma global itu berkata lonjakan dalam kepercayaan itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap kestabilan dan tadbir urus demokrasi pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya, Edelman berkata kerajaan menyaksikan peningkatan memberangsangkan sebanyak 13 mata dalam kepercayaan orang ramai sejak tahun lalu.

Ia sekaligus mendorong Malaysia naik dua anak tangga selepas mencatat kenaikan enam mata kepada 68 dalam pemarkahan Indeks Kepercayaan secara menyeluruh yang mewakili purata peratusan kepercayaan orang ramai terhadap badan bukan kerajaan (NGO), perniagaan, kerajaan dan media.

“Peningkatan kepercayaan Malaysia menggariskan anjakan positif dalam persepsi orang ramai terhadap tadbir urus dan rangka kerja institusi kami.

“Keadaan itu memaparkan peningkatan optimis dalam kemampuan mengemudi cabaran ekonomi serta memupuk pertumbuhan inklusif,” kata Ketua Pegawai Operasi Edelman Malaysia Chris de Cruz.

Laporan global itu diterbitkan pada Januari tahun ini tetapi versi Malaysia telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada hari Rabu.

Negara-negara lain dalam kelompok 10 teratas adalah China (skor 79), India (76), Emiriah Arab Bersatu (74), Indonesia (73), Arab Saudi (72), Thailand (70), Singapura (67), Kenya (64) dan Nigeria (61).

Dalam kaji selidik itu, rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan besar dan ketara dalam kepercayaan terhadap kerajaan, dengan 67 peratus responden bersetuju dengan sentimen itu .

Menurut Edelman, perniagaan adalah institusi yang paling dipercayai di Malaysia, dikekori rapat oleh NGO, diikuti kerajaan dan media.

Berdasarkan kaji selidik itu, kalangan warga Malaysia juga berharap agar kelompok ketua pegawai eksekutif untuk berdiri kukuh dalam isu-isu kritikal termasuk gaji saksama, perubahan iklim dan ketidaksamaan ekonomi

Laporan itu membabitkan kaji selidik dijalankan pada 3-22 Nov, 2023 dan meninjau lebih 32,000 responden di 28 negara, termasuk lebih 1,000 di Malaysia yang turut memberi gambaran sentimen awam mengenai aspek kepercayaan, inovasi dan tadbir urus.

Usaha itu juga merupakan tinjauan kepercayaan dan kredibiliti tahunan bagi firma itu yang mengetengahkan asas program kepimpinan pemikirannya yang meneliti keyakinan dan kredibiliti merentasi industri, geografi dan demografi.

BACA JUGA Setpol PM sampaikan pesanan Anwar kepada pengundi muda di Sungai Bakap 

Â