Ustaz Azhar Idrus pun kata haram ambil komisen kutipan derma
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menerusi salah satu siri ceramah agamanya menegur pihak-pihak yang mengambil wang komisen dari hasil kutipan derma.
Kata pendakwah berusia 60 tahun itu, perbuatan mengambil komisen untuk mengaut keuntungan mudah adalah haram.
Azhar berkata, ketika ini ramai yang cuba mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik kutipan derma untuk masjid dan tahfiz, tetapi menyalahgunakan wang tersebut untuk kepentingan diri sendiri.
“Haram, ramai sangat nak tolong bina pondok (institusi pendidikan Islam) nak ambil duit. Buat kerja biar betul.
“Upah pengurusan itu sebenarnya kecil sahaja iaitu dua hingga empat peratus sahaja yang dibenarkan syarak. Ini tidak, dapat derma RM100,000 untuk pondok, kita ambil RM30,000.
“30 peratus yang diambil itu bukan kos pengurusan dah, biar kita ikhlas untuk menolong. Biar kita guna duit sendiri dan duit sumbangan untuk perkhidmatan.
“Apabila lama-kelamaan kita (kita mengambil duit sumbangan), kita akan lupa asal tujuan perbuatan kita (bantu surau atau masjid),” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman YouTube rasmi penceramah tersebut.
Harapan Daily mengambil video tersebut sebagai rujukan selepas baru-baru ini kecoh di laman sosial terdapat pihak NGO serta pempengaruh didakwa menggunakan wang derma untuk hidup senang.
Ustaz Azhar berkata, individu yang menjalankan aktiviti mengutip derma itu hanya dibolehkan mengambil upah tidak lebih empat peratus daripada jumlah kutipan diterima sahaja.
Beliau juga mengingatkan kepada semua individu yang terlibat agar tidak mengambil kesempatan terhadap wang amanah yang didermakan oleh orang ramai.
BACA JUGA Setpol PM sampaikan pesanan Anwar kepada pengundi muda di Sungai Bakap