AMANAH parti termuda dalam kerajaan diberi tugas besar tarik kepercayaan Melayu
Pakatan Harapan meletakkan harapan yang tinggi kepada AMANAH untuk meningkatkan usaha menarik kepercayaan Melayu Islam terhadap parti itu.
Bercakap kepada ahli sempena pelancaran Projek Transformasi AMANAH hari ini, Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kepercayaan Pakatan Harapan itu adalah satu cabaran besar yang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
Beliau menekankan parti itu supaya menampilkan imej lebih dekat dengan pengundi Melayu Islam dan menerangkan pendekatan Islam yang sederhana
“Cabaran kepada AMANAH dan PH adalah untuk menarik lebih ramai sokongan pengundi Melayu.Â
“Rakan-rakan kita dalam PH meletakkan harapan yang tinggi kepada AMANAH untuk kita meningkatkan usaha menarik kepercayaan Melayu terhadap AMANAH.
“Inilah salah satu cabaran yang perlu kita sambut dan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya hari ini.
Dalam ucapannya, Mohamad menyinggung berkenaan imej Islam yang semakin tercemar gara-gara perbuatan mencela dan memfitnah.
Beliau menegaskan agar ahli parti dapat melawan pendekatan takfiri dan ghuluw dalam kalangan kumpulan membawa nama Islam.
“AMANAH perlu menampilkan imej yang partinya dekat dengan pengundi Melayu. Kita tahu soal persepsi ini amat sukar (ditepis).
“(Ia) ditanam dalam pemikiran kononnya Cina akan ambil alih Malaysia. Saya yakin kejayaan (menyebar ketakutan) itu sementara kerana kita perlu berterusan memberi penerangan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, untuk memenangi hati rakyat, ahli AMANAH di setiap peringkat diseru Presidennya untuk mula mendampingi rakyat dengan merancang aktiviti berterusan bersama masyarakat setempat.
Mohamad memanjangkan harapan agar kali ini ahli meningkatkan kekuatan organisasi dan aktif bermesyuarat setiap bulan.
“Program masyarakat perlu disusun dengan lebih baik dan diperbanyakkan. Setiap pemimpin AMANAH di semua peringkat mesti bersama dengan masyarakat sama ada menyertai persatuan masyarakat atau adakan program yang memberikan khidmat kepada mereka.
“Alangkah baiknya jika setiap kawasan AMANAH aktif bermesyuarat bulanan untuk membincangkan aktiviti bersama masyarakat dan menjalankan program bersama.
“In shaa Allah dengan pendekatan begini AMANAH boleh menguasai lebih banyak sokongan Melayu dan bukan Melayu pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Pembekal ayam segar lega Budi Madani RM200 bantu kurangkan beban
Â