Pembekal ayam segar lega Budi Madani RM200 bantu kurangkan beban

Seorang pembekal ayam segar di Puncak Alam mengakui bantuan Budi Madani RM200 yang diberikan kerajaan sedikit sebanyak membantu operasi perniagaannya.

Walau ramai mengatakan jumlah tidak mencukupi, namun Saiful Ahmad memahami bantuan itu diberikan bukan untuk menampung kesemua kos bahan api, namun bagi menampung tambahan bayaran selepas penyasaran subsidi diesel dilakukan.

“Memanglah ada orang kata RM200 itu sikit tetapi saya faham ia diberi untuk menampung tambahan bayaran apabila diesel naik.

“Ia bukan bermaksud untuk bayar semua kos tetapi ramai mungkin salah anggap,” kata peniaga berusia 55 tahun itu, memetik Utusan Malaysia.

Selain Budi Madani, kerajaan turut mengurangkan beban dengan meneruskan bantuan subsidi kepada kenderaan pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chai Kok Lim berkata sehingga kini kira-kira 200 daripada 800 ahlinya telah menikmati bantuan wang tunai RM200 itu.

Ada yang permohonannya ditola kerana tidak menepati syarat namun kata Kok Lim, pihaknya telah menyampaikan permasalahan itu kepada Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yi baru-baru ini.

“Ada ahli kami masih menunggu kelulusan, namun ada juga ditolak kerana tidak cukup syarat kerana jualan melebihi RM300,000 seperti disyaratkan…kami telah minta syarat dilonggarkan untuk syarikat catat jualan lebih RM1 juta.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yi dalam lawatannya baru-baru ini, kami mengharapkan keterbukaan kerajaan untuk mendengar rayuan kami bagi memperbaiki dasar berkaitan,” katanya seperti dilapor.

Subsidi diesel tidak pernah ditarik, dimansuh mahupun dinaikkan. Sebaliknya kerajaan melaksanakan penyasaran dengan memastikan golongan benar-benar layak sahaja dapat menggunakan subsidi kerajaan.

Bagi individu menggunakan kenderaan berdiesel sebagai kenderaan persendirian, kerajaan menjanjikan bantuan tunai RM200 setiap bulan kepada yang layak.

BACA JUGA Bekas calon PN peguam baharu lelaki Israel miliki ratusan peluru, enam pistol