Bekas calon PN peguam baharu lelaki Israel miliki ratusan peluru, enam pistol 

Peguam, Datuk Naran Singh yang pernah bertanding sebagai calon Perikatan Nasional di DUN Jalong, Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu, dilantik sebagai peguam kepada lelaki warga Israel yang didakwa memiliki ratusan butir peluru dan enam pistol.

Pelantikan itu dimaklumkan kepada Mahkamah Sesyen pagi semalam.

Tertuduh warga Israel, Avitan Shalom, 38, melantik Naran Singh untuk mewakilinya pada perbicaraan yang akan bermula selama sembilan hari pada September depan.

Naran Singh menerusi Facebook miliknya turut memaklumkan tentang pelantikan tersebut dan menerima banyak sokongan daripada pengikutnya.

Beliau dari parti Gerakan iaitu rakan gabungan dalam Perikatan Nasional dipilih bertanding pada PRU15 yang lalu.

DUN Jalong yang menyaksikan pertembungan 4 penjuru dimenangi Loh Sze Yee (Pakatan Harapan) dengan 15,955 undi, manakala Naran Singh hanya meraih 3,043 undi.

Terdahulu mengenai anak guam yang diwakilinya, Shalom didakwa memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru pada 27 Mac lepas.

Hasil siasatan mendapati lelaki yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport Perancis, merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA MP Tumpat disekolah Timbalan Speaker gara-gara petik maklumat palsu dari Facebook