Bukan tak mahu tolong berkempen, terjawab kenapa PM tak turun Sungai Bakap 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kepada media mengapa beliau tidak turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.

Menurut Anwar, beliau mahu fokus kepada masalah lebih utama iaitu ekonomi dan membangunkan taraf hidup rakyat.

Justeru, Pengerusi PH itu meminta rakan-rakan dalam parti dan semua pihak, memahami keadaan beliau yang tidak turun berkempen membantu calon PH, Dr Joohari Ariffin.

“Saya tak bertanding di Sungai Bakap, saya tak pergi pun Sungai Bakap. Saya tumpu masalah ekonomi, bangunkan rakyat, tak ambil gaji. 

“Saya tidak pergi Sungai Bakap sebab saya fikir saya kena terus bekerja.

“Petang ini kita jumpa Jawatankuasa Pemandu Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), pegawai-pegawai daerah dan lain-lain untuk bincang pembangunan projek-projek Bumiputera Pulau Pinang,” katanya kepada media.

Kata Presiden PKR itu, beliau telah menyerahkan kepada rakan-rakan dalam gabungan parti bawah Kerajaan Perpaduan, termasuk Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, untuk membuat kerja di kawasan tersebut.

BACA JUGA Pembekal ayam segar lega Budi Madani RM200 bantu kurangkan beban