Dr Syed Husin Ali meninggal dunia

Bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali meninggal dunia awal pagi ini di Hospital Selayang.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang memuat naik khabar duka berkenaan, memaklumkan Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang sejak Hari Raya Haji kedua lalu.

“Dr Syed seorang yang pandangannya cukup dihormati dalam parti dan sering menjadi rujukan para pimpinan. Beliau seorang penyabar, lemah lembut, tegas dalam bab disiplin dan banyak menyampaikan nasihat termasuk kepada diri saya sendiri.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Sementara menurut Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, jenazah akan dibawa ke Masjid Kampung Tunku Petaling Jaya.

Terdahulu, anaknya Muhammad Ali pernah memaklumkan keadaan Allahyarham yang dilaporkan kritikal dan tidak sedarkan diri.

Allahyarham yang berusia 87 tahun pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Presiden Parti Rakyat Malaysia, dan Profesor di Universiti Malaya.

Semasa hayatnya, Allahyarham banyak berjasa kepada parti dan rakyat, telah menerbitkan banyak buku termasuk ‘Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara’ yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan di bawah ISA serta ‘Sejarah dan Dasar Perjuangan Keadilan’.

Syed Husin juga banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain merupakan antara tokoh senior yang sudah lama berjuang dalam politik tanah air.

BACA JUGA MP Tumpat disekolah Timbalan Speaker gara-gara petik maklumat palsu dari Facebook