Fahaman ‘childfree’ tak selari sunnah Nabi Muhammad, kata Menteri Agama

Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan pasangan suami isteri yang terikut fahaman ‘childfree’ agar tidak menganggap anak sebagai beban.

Kata beliau, ia tidak selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan fatwa bahawa gaya hidup berkenaan adalah makruh mengikut syarak.

“Berdasarkan hadis Nabi SAW, Rasulullah menyebut kahwinilah wanita yang penyayang, subur kerana Baginda berasa bangga dengan memiliki umat yang ramai.

“Kita tahu juga hadis nabi turut menyebut apabila mati anak Adam (manusia) itu maka terputus amalannya kecuali tiga iaitu sedekah jariyah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan ibu bapa…

“Jadi berdasarkan kedua-dua hadis ini, saya menasihatkan generasi muda untuk memikirkan bahawa anak-anak ini bukanlah satu beban buat mereka.

“Yang saya faham childfree ini langsung tidak mahu anak sebab dia rasa anak beban dan mereka masih lagi nak merasa macam bujang, tidak bolehlah” katanya dalam sidang media hari ini seperti dilapor Bernama.

Mohd Na’im berkata, sekiranya pasangan itu membuat perancangan keluarga atas sebab kesihatan atau kewangan, ia tidak menjadi kesalahan.

Beliau meminta para doktor memainkan peranan dengan memberikan nasihat dan saranan yang baik kepada pasangan khususnya yang berpegang kepada fahaman childfree.

BACA JUGA AMANAH parti termuda dalam kerajaan diberi tugas besar tarik kepercayaan Melayu