Kerajaan umum berita baik, tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung

Kerajaan mengumumkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan, melalui keputusan itu, pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar. 

Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh tersebut akan dibiayai kerajaan sebanyak RM2.192 bilion.

Selain itu pengguna kormesial dan industri akan menikmati penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak satu sen/kWj bagi tempoh yang sama.

Kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak satu sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak Pihak Berkuasa Tempatan.

“Melalui keputusan ini, kerajaan komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rebat dua sen per kilowatt jam (kWj) dikekalkan bagi 6.9 juta pengguna domestik di bawah 600 kWj, tiada perubahan kepada 1.3 juta pengguna di bawah 1,500 kWj, dan rebat 10 sen/kWj untuk 85,000 pengguna melebihi 1,500 kWj.

Dalam pada itu kerajaan berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran, di samping menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia, meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara.

“Kementerian percaya bahawa pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi kerajaan.

“Peruntukan tersebut sebaliknya akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat serta membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,” jelasnya.

Selain itu, kerajaan terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.

BACA JUGA Bekas calon PN peguam baharu lelaki Israel miliki ratusan peluru, enam pistol