Kuota Bumiputera di matrikulasi kekal

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kuota Bumiputera di matrikulasi masih dikekalkan walaupun Perdana Menteri telah memberi jaminan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas mendapat tempat di pusat pengajian itu.

Pada masa sama, jelasnya, jaminan itu memberikan peluang pendidikan lebih luas kepada semua pelajar cemerlang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi tanpa mengira latar belakang dan kaum.

Susulan itu, Fadhlina berkata, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengambil tindakan selanjutnya berkenaan pengumuman itu.

“Jadi, inilah satu jaminan pendidikan yang diberikan oleh PM (Perdana Menteri) sendiri dan saya bersama Menteri KPT (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) akan bersama meneliti perkara ini.

“Kita akan susul tindak dengan pengumuman lain bagi menjamin pendidikan semua pihak tanpa kira latar belakang dan kaum.

“Kita harapkan dengan jaminan ini tiada kegusaran, terutama kuota (Bumiputera) dikekalkan,” lapor Buletin TV3, mengulas berhubung pengumuman Perdana Menteri.

Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi, bermula tahun ini.

BACA JUGA ‘Tak perlu tunggu PRK bro, beras tetap sampai!’