Pas kawasan, Pemuda mahu parti itu bertanding Nenggiri

Pas Kawasan Gua Musang dan sayap pemudanya mahu parti mereka bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.

Yang Dipertuanya, Azman Ahmad berharap calonnya diberi laluan bertanding di kerusi itu dengan alasan bimbang berulangnya peralihan sokongan pengundi jika wakil Bersatu diletakkan.

Menurutnya, tindakan Mohd Azizi Abu Naim dari Bersatu berpaling tadah selepas menang memberi kesan di kalangan pengundi di kerusi terletak bawah Parlimen Gua Musang itu.

Parlimen tersebut turut diwakili Azizi yang kini menunggu keputusan Speaker Parlimen Johari Abdul sama ada beliau perlu mengosongkannya atau sebaliknya, susulan notis dikemukakan Bersatu pada 20 Jun lalu.

“Akibat tindakan itu, pengundi rasa ragu-ragu…mereka yakin dengan (wakil) PAS berbanding segelintir dari Bersatu yang terbukti ada melompat (Azizi alih sokongan).

“Jadi, mereka bimbang berulang di Nenggiri. Bagaimanapun saya tak kata semua wakil rakyat Bersatu kaki lompat…ada ramai yang bagus,” kata Azman, memetik FMT.

Mohd Habidin Hanipa

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Habidin Hanipa semalam menegaskan kerusi DUN Nenggiri perlu diberi kepada partinya untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali.

Selain itu, menurutnya 90 peratus daripada jentera pilihan raya di kerusi terbabit adalah dari Pas.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertelingkahan sesama Perikatan Nasional (PN) dalam menentukan calon bertanding.

Pada 28 Jun lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, partinya akan bertanding di kerusi itu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menegaskan pihaknya tidak boleh mengambil mudah PRK itu walaupun berlangsung di Kelantan yang menjadi kubu kuat PN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

Pilihan raya itu diadakan susulan pengosongan kerusi DUN Nenggiri seperti diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 13 Jun lalu.

BACA JUGA ‘Tak perlu tunggu PRK bro, beras tetap sampai!’