ProAMANAH lonjakan perkasakan parti

Oleh MOHD SAYUTI OMAR

Lama saya tidak menulis menyorot ataupun mengupas mengenai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ketiadaan Timbalan Presidennya Allahyarham Sallahuddin Ayub yang dipanggil Allah pada 23 Julai 2023, lalu menyebabkan saya makin menyepikan diri daripada menulis atau menerima apa-apa berita mengenai parti ini.

Walaupun saya tidak seghairah dahulu memperkatakan AMANAH semasa pada awal perwujudannya, namun saat Salahuddin ada beliau jadi informer atau jambatan kepada saya untuk mengetahui apa-apa perkembangan parti berkenaan.

Apa-apa perkembangan dalam AMANAH, selagi ianya tidak dianggap melanggar etika dan disiplin parti, beliau akan maklum kepada saya sama ada menerusi telefon ataupun ketika berjumpa di mana-mana, biasanya di restoran Pak Punjab di Jalan Ipoh. Beliau akan jemput secara personal dan bercerita di sana.

Di situlah beliau akan meluahkan perasaan dan ceritakan perihal dalaman parti dengan penuh hati-hati kemudian meminta pendapat. Saya tidak memaksanya, tetapi feed back diberi diterima baik.

Allahyarham juga tahu bahawa saya agak give-up untuk memperkatakan tentang parti ini, setelah saya melihat tiada perkembangan positif serta ulah berlaku dalam parti itu.

Tetapi sebagai sahabat, saya memenuhi panggilan dan mendengar segala apa yang dicurahkan dan sedia berkongsi pandangan dengannya.

Kali terakhir

Kali terakhir saya menyebut perihal parti ini kepadanya ketika beliau menziarahi saya di ward IJN, selepas saya menjalani bypass.

Sambil kami bersalaman sewaktu beliau hendak meninggalkan ward IJN saya berpesan, “Din enta harus lakukan sesuatu bagi memperkasakan AMANAH.

“AMANAH perlu diselamatkan. Enta perlu mengambil alih jawatan presiden daripada Mat, (Mohamad Sabu).”

Beliau terdiam dengan pengucapan saya itu, sambil memberi semangat kepada saya, agar jaga kesihatan baik-baik. Saya mengerti ucapan dan gesaan saya itu sesuatu yang berat baginya.

Saya tahu hati dan budi Sallahuddin dia tidak mudah untuk akur apa yang saya ucapkan itu, tetapi dia cukup memahami yang saya ingin melihat partinya berjaya dan maju seperti parti lain.

Apabila saya cadang demikian bukan bermakna Mat Sabu tidak berkemampuan untuk perkasakan parti.

Selepas itu saya tidak lagi menyebut, apa lagi menulis nama parti AMANAH dalam sebarang media sosial saya, baik memberi pandangan, nasihat atau apa.

Yang ada menyindir dan mengkritik serta mencemuh sekali sekala. Saya juga tidak hadir di sebarang majlis dianjurkan AMANAH termasuk mesyuarat agungnya seperti sebelum ini selaku pemerhati.

Kenapa saya jadi begitu? Sebenarnya saya sedikit kecewa melihat kepada perkembangan parti yang satu ini yang semacam tidak ada apa-apa perubahan dan usaha untuk memajunya sebagai parti diharap jadi alternatif kepada Pas.

Para pekerja parti ini terutama pemimpin atasannya tidak serius, sekadar menjadikan AMANAH sebagai vehicle untuk jadi wakil rakyat semata-mata.

Sebab itulah apabila jadi kerajaan ramai berebut hendak jadi pengerusi GLC atau ahli lembaga pengarah, setengah melobi sampai ke Sarawak.

Yang jelas ialah suasana di ibu pejabat parti tersebut semacam tidak diurus dengan baik, bersistemetik sesuai dengan ia sebagai sebuah parti politik untuk menjadi pesaing kepada parti-parti besar lain. Memelikkan sebahagian besar pimpinan mereka terdiri profesionalis dari berbagai bidang ilmu.

Alasan dan maksud penubuhannya begitu gah sekali, ia mahu menjadi parti atau wadah bernuansakan Islam.

Mereka memilih AMANAH setelah kecewa dengan parti asal mereka Pas yang sudah menyimpang daripada landasan sebagai sebuah parti bernuasakan Islam yang progresif.

AMANAH tidak wujud kalau Pas berjalan secara teratur dan bergerak ke arah menjadi badan siasah yang profesional.

Namun, kerana Pas sudah dijadikan perkakas atau hak milik sendirian berhad oleh segolongan dalam Pas, AMANAH dilahirkan.

Dilema itulah yang timbul sehingga wujudnya AMANAH. AMANAH bolehlah dianggap alat untuk menyucikan kekotoran politik yang dibawa oleh Pas.

Begitu tinggi harapan dan kobaran semangat AMANAH ketika dilahirkan. Tetapi malang umpama sebuah bahtera yang berlayar ke pulau, perjalanan tidak berimbangan dengan layar yang ada.

Awak-awak di atas mengendalikan bahtera itu seperti berjalan tanpa ada peta atau pun arahan tepat daripada kapten. Kapten pula saya lihat sangat naif dengan ilmu pelayaran dan kurang memahami bahasa lautan samudera.

Suasana itulah menjadikan saya tidak berminat atau hilang nasfu untuk melihat Amanah muncul sebagai parti berpotensi di masa depan.

Jujur saya katakan saya tidak menduga dalam pilihan raya ke-15 lalu Amanah masih boleh survive. Masih ada kerusi yang dapat dipertahankan untuk membuktikan ia masih hidup.

Kekalahan Amanah di Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak mengejutkan kerana, situasi atau kekuatan Amanah di negeri-negeri berkenaan langsung tidak ada.

Walaupun di Kedah sedikit berbeza dengan Terengganu dan Kelantan, tetapi perpecahan disaat akhir dalam parti itu mewajarkan Amanah kalah.

Sudah setahun Sallahuddin Ayub pergi meninggalkan parti itu. Pemergiannya tanggal 23 Julai 2023 sesuatu memedih dan mendukacitakan untuk Amanah. Pemergian Sallahuddin seakan membawa separuh jiwa dan badan Amanah.

Belum tergganti

Mohamad Sabu dan yang lain-lain kehilangan sahabat dan pembantu serta pejuang yang ulit yang masih belum tergganti hingga kini.

AMANAH jadi seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila gagal mengekalkan status quo dalam pilihan raya lalu.

Apakah pemergian Sallahuddin itu berupa satu ujian untuk menjadikan parti itu perkasa kembali seperti diawal penubuhannya?

Semalam, diadakan majlis pelancaran apa dinamakan Projek Trasformasi Amanah (ProAmanah) yang akan dilakukan oleh Presiden Mohamad Sabu.

Majlis berlangsung di Shah Alam Selangor. Saya ikut sama dijemput menghadiri majlis itu atas kapasiti sebagai penulis dan pemerhati politik.

Malang sedikit jemputan agak lewat kerana saya sudah ada komitmen lain, tidak dapat hadir. Kalau tidak, teringin saya untuk hadir sambil berjumpa dengan rakan-rakan politis sejak dalam Pas, dan juga untuk melihat apakah rangka kerja (transformasi) yang akan dlakukan.

Melihat kepada quatiton ucapan presiden, yang berbunyi, “Parti Amanah bersedia untuk melakukan transformasi bagi menghadapi fasa seterusnya dalam perjalanan politik, menjadi sebuah parti yang lebih kukuh, mampan dan diterima sebagai pilihan utama rakyat Malaysia..”

Saya yakin AMANAH insaf dengan situasi yang ada dan giat menyusun rancangan untuk memperkasakan parti itu.

Sepantasnya ia disemak dan dianalisa kembali apa-apa perancangan, pendekatan dan pencapaian parti itu yang telah berjalan sebelum ini.

Projek transformasi ini saya kira satu penilaian menyeluruh (muhasabah) disemua peringkat ahli bawahan, hinggalah ke peringkat pimpinan tertinggi.

Sebagai parti gabungan PH yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan Madani, program atau tindakan dilakukan itu nanti sangat tepat dan relevan.

AMANAH tidak boleh lagi sekadar menjadi parti bernuasa pembangkang atau pendokong parti utama PKR dan BN.

Parti itu tidak boleh sekadar pengikut PKR atau UMNO. AMANAH seharusnya meletakkan dirinya sejajar dan setanding dengan peranan dimainkan PKR dan UMNO dalam memampan kedudukan kerajaan Madani. Amanah harus begitu jika ia mahu dilihat parti penting.

Dalam pada itu apa yang penting, AMANAH juga perlu memperkasakan kedudukan organisasi berkenaan.

Dalam konteks ini ia bukan sahaja perlu menambah keahlian, tetapi berusaha menyuntik semangat dan tambah nilai, pengetahuan dan cara berorganisasi kepada ahli yang lebih professional. Soal disiplin, tanggungjawab dan kesetiaan juga hendaklah ditekankan setiap masa.

Selaku parti pemerintah, Amanah perlu mendidik para ahlinya bukan mementingkan kedudukan, berebut jawatan, tetapi berlumba untuk melakukan kebajikan (fastabiqul khairat) kepada negara dan rakyat menerusi parti. Ahli perlu diajar bahawa parti bukan alat untuk mencapai kesenangan diri, tetapi untuk kemajuan negara. Dalam hal ini Amanah perlu menjadi model dan contoh kepada parti politik lain.

Dalam hal ini, AMANAH tidak perlu rasa hina dan lemah diri dengan jumlah kerusi dimiliki sekarang serta bilangan ahli yang tidak cecah satu juta.

Apa yang penting, ialah melengkapkan ahli dengan semangat perjuangan dan cuba berusaha menjadikan ahli parti yang berkualiti.

Amanah perlu mengguatkan struktur oraganisasi dengan memperkemaskan seluruh ranting atau bahagiannya yang wujud di seluruh negara. Manakala mereka yang memegang jawatan kerajaan tunjuklah kehandalan dan kebolehan masing-masing.

Segala sindiran dan cabaran di pihak luar tidak perlu dilayan sebaliknya jadikan itu sebagai pencetus semangat dan energi untuk mencapai cita-cita dan tujuan parti ditubuhkan. Amanah jangan pedulikan kepada soal-soal titik bengit dan remeh temeh.

Untuk memastikan keuntuhan parti, AMANAH juga perlu mengurangkan perbalahan, sifat dengki mendengki dan jatuh menjatuh di antara satu sama lain, dan hendaklah kembali kepada nawaitu asal semasa penubuhan dahulu, yang mana mahu menjadi wadah perjuangan dengan nawaitu hendak memperbetulkan nilai-nilai agama (Islam) yang pincang dibawa Pas sebelum ini.

Motto Amanah, Rahmatan lil alamin, masih relevan dan slogan ini kena terus diobor bakarkan. Setiap ahli, aktivisnya perlu senantiasa melaung dan melaksanakan dimana-mana juga.

Projek Transformasi yang dilancar semalam, diharap akan menitik beratkan perkara ini.

Jadikanlah majlis itu untuk mengingati semula akan tujuan dan matlamat kenapa ia ditubuhkan.

Jika semua dapat kembali kepada matlamat itu, insya-Allah AMANAH mampu berdiri sebagai organisasi siasah yang sama berperanan dengan parti-parti lain khasnya dalam kerajaan Madani dan juga dalam arena politik negara.

Semoga AMNAHAH akan dihormati dan disegani oleh rakan dan lawan.

BACA JUGA Walau dimaki hamun, kerajaan Madani terbukti bersifat terbuka