Walau dimaki hamun, kerajaan Madani terbukti bersifat terbuka

Walaupun kerajaan Madani diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dimaki hamun, hak rakyat untuk bersuara tetap dihormati.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan terbukti bersifat terbuka dan memberi peluang kepada rakyat untuk berhimpun secara aman dalam himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.

“Ini mengesahkan Malaysia di bawah Kerajaan Madani menghormati hak untuk berkumpul, hak untuk berhimpun secara aman dan hak untuk menegur serta mengkritik pemerintah.

“Kerajaan di bawah teraju Anwar menghormati hak setiap rakyat, walaupun Perdana Menteri itu dimaki hamun,” katanya selepas menghadiri Program Xpresi Generasi Kita semalam.

Beliau berkata, mengikut laporan yang diterimanya, himpunan disertai kira-kira 100 orang itu hanya membabitkan kelompok kecil masyarakat.

“Kita tengok (daripada) 30 juta rakyat Malaysia, mereka berjaya kumpulkan siang tadi (semalam) adalah 100 orang.

“Ini satu angka menakjubkan, saya ingatkan 100,000 rupa-rupanya 100 orang,” sindirnya.

Petang semalam, peserta perhimpunan yang gagal mendapat sambutan rakyat itu mendesak PMX menurunkan harga diesel serta tidak menaikkan harga petrol.

Kumpulan itu turut mendesak kerajaan mengembalikan bekalan beras putih tempatan selain membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

BACA JUGA Bukan tak mahu tolong berkempen, terjawab kenapa PM tak turun Sungai BakapĀ