Tak boleh ‘give up’, kita kena ‘champion’ – Mat Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini tampil ‘menceritakan’ mengenai parti yang ditubuhkan pada September 2015 itu.

Menerusi pengamatan beliau parti tersebut telah berkembang dengan baik, namun ia masih tidak mencukupi dan perlu mencari jalan untuk memperkenalkan lagi AMANAH di mata masyarakat.

”AMANAH telah diterima secara umum terutama daripada bukan Islam sebagai parti yang dianggap sederhana dengan mendukung konsep rahmat untuk semua.

”Untuk golongn Muslim pula, kita masih lagi perlu mempertingkatkannya.

”Kadang-kadang kita agak lalai sedikit dalam mengembangkan AMANAH ini.

”Pada saya, konsep seperti panggil untuk berbincang (usrah) agak kurang sekarang ini,” katanya dalam sedutan video di Facebooknya.

Menyentuh mengenai pertambahan ahli parti tersebut, Mohamad berkata, AMANAH masih lagi perlu berusaha dengan lebih kuat ke arah itu.

”Paling penting sekali kita kena ada sifat mendampingi rakyat. Selain itu, buat masa ini, AMANAH perlu terus membuat engagement dengan parti-parti lain dan kita juga belum mampu untuk bergerak sendirian.

”Bagi rakan-rakan dalam komponen Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan, mereka masih mengharapkan AMANAH dapat menarik sokongan orang Melayu.

”Satu perkataan yang mudah kita sebut, tapi susah nak laksana adalah istiqamah.

”Tetapi kita tak boleh give up (mengalah), kita kena champion (juara)masa depan dengan mempertahankan asas Islam itu iaitu Islam Rahmatan Lil ‘Alamin,” ujar beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Untuk rekod, parti yang berpegang kepada nilai Rahmatan Lil ‘Alamin itu telah ditubuhkan pada 16 September 2015 dan diterajui Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Kali pertama parti itu menganggotai pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah pada 2018 selepas mereka memenangi 11 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

AMANAH pada masa itu dilihat beruntung apabila lima Ahli Parlimen parti tersebut dilantik sebagai Menteri dan lima termasuk seorang Senator pula dilantik menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri.

Lima pemimpin AMANAH yang dilantik sebagai menteri ialah Mohamad Sabu ( Menteri Pertahanan); Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (Menteri Agama); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan); Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Khalid Samad (Menteri Wilayah Persekutuan).

Bagi jawatan timbalan menteri pula ketika itu ialah Mohd Anuar Tahir sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya; Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan); Datuk Mahfuz Omar (Timbalan Menteri Sumber Manusia); Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (Timbalan Menteri Pembangunan dan Usahawan) dan Mohamed Hanipa Maidin (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang).

BACA JUGA Walau dimaki hamun, kerajaan Madani terbukti bersifat terbuka

Â