‘Kenapa saya nak biarkan Gua Musang kepada orang lain?’ – Azizi
Tampil bersuara mempertahankan kerusi disandangnya sekarang, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, beliau akan mempertahankan kerusi yang dulunya bukan sasaran Perikatan Nasional (PN) itu.
Wakil rakyat Bersatu itu adalah seorang daripada enam Ahli Parlimen parti pembangkang tersebut yang digugurkan keahlian serta-merta.
Puncanya mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Mereka sebelum ini juga pernah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azizi berkata, beliau akan cuba meyakinkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bahawa beliau calon paling layak bertanding, sekali gus mempertahan kerusi Parlimen Gua Musang yang disandangnya ketika ini.
Jelasnya, dia sudah memulakan kerja untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan sebelum ini sejak 2020 lagi dan adalah tidak adil jika kerusi itu diberikan kepada orang lain sekiranya diisytihar kosong oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Ya memang saya akan minta kepada pimpinan parti (PH-BN) untuk memberi peluang kepada saya di Gua Musang (jika ada pilihan raya).
“Saya bertanding sebelum ini pun atas tiket Perikatan Nasional (PN) yang pada hakikatnya bukan satu (kerusi) sasaran pada peringkat PN sendiri.
“Sebenarnya kita (PN) tak beri apa-apa fasiliti sebab katanya bertanding di Gua Musang bukan sasaran parti (untuk menang).
“Sebabnya, kita (PN) tak ada sejarah (menang di kerusi itu), maksudnya kekebalan (bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah).
“Mereka (PN) sebenarnya tak sasarkan saya (menang), tetapi dua tahun lalu, saya bergelut membuat aktiviti terutama untuk tarik pengundi muda untuk menang.
“Saya bekerja sejak 2020, ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi, kenapa saya nak biarkan kerusi itu kepada orang lain jika berlaku pilihan raya.
“Insya-Allah saya akan guna alasan ini untuk saya jumpa pimpinan PH-BN untuk memberi peluang saya bertanding pada pilihan raya nanti,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan sudah menerima notis untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu.
Ekoran itu, Johari berkata, keputusan berhubung kedudukan mereka akan diputuskan dalam tempoh 21 hari.
BACA JUGA Heboh netizen anggap Syed Saddiq kena ‘tunggang’
Â