‘Nampaknya setahun saya tak boleh ulas hal mahkamah’ – Lokman Adam

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hari ini memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah membatalkan hukuman penjara selama sebulan ke atas dirinya.

Lokman berkata, hukuman itu dikenakan terhadapnya atas tuduhan menghina mahkamah kerana telah membuat laporan polis berhubung pengakuan Datuk Amhari bahawa beliau menerima rasuah RM25,000 sebulan daripada Orbs Solution, USD 200,000 daripada Jho Low dan menerima hampir RM3.7 juta dalam akaunnya di BSI Swiss.

”Terima kasih para hakim, pihak pendakwaan dan barisan Peguambela, Tan Sri Shafee, Alistar, Gene yang telah banyak membantu saya selama ini.

”Nampaknya setahun saya tak boleh ulas hal mahkamah lepas ini,” katanya dalam kenyataan.

Walaubagaimanapun, Pengarah Komunikasi UMNO berkenaan berkata, beliau dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan amaran supaya tidak mengulangi tindakannya itu.

Jelasnya, beliau telah memohon maaf tanpa syarat dan berikrar tidak akan membuat sebarang komen ketika mahkamah masih berjalan.

Pada 15 Julai 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lokman dipenjara sebulan kerana menghina mahkamah ekoran tindakannya mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dua tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Lokman menjalani tempoh pemenjaraan bermula tarikh tersebut.

Ketika menyampaikan keputusannya, Collin berpuas hati bahawa tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin merupakan satu ugutan yang boleh membawa kepada ancaman terhadap saksi-saksi perbicaraan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Collin turut membenarkan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan.

Sebelum itu, peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman memohon penangguhan pelaksanaan hukuman atas alasan kesalahan itu adalah yang pertama dilakukan oleh anak guamnya.

BACA JUGA Semak dulu fakta, masjid baharu bukan gula-gula PRK Sungai Bakap