Pas mahu bertanding PRK DUN Nenggiri, Bersatu bakal serah tiga nama calon
Ketika Pas mahu meletakkan wakilnya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Bersatu Kelantan akan menyerahkan senarai tiga nama calon mereka kepada pimpinan parti selewat-lewatnya akhir minggu depan.
Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata sehingga kini pihaknya masih membuat penelitian berhubung senarai calon yang akan ditampilkan.
“Kita belum memuktamadkan lagi tiga nama berkenaan. Kita menerima cadangan daripada pihak bawahan sebelum proses pemilihan dibuat.
“Yang pasti, ketiga-tiga calon berkenaan adalah lelaki yang terdiri daripada pimpinan parti Bersatu Gua Musang dan ahli biasa.
“Kita pilih ada yang berasal dari Nenggiri, ada juga di luar Nenggiri namun masih lagi dalam daerah Gua Musang,” katanya dipetik BH.
Menurutnya, Bersatu akan menampilkan calon boleh menang dan boleh memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Dalam senarai tiga calon nanti, calon muda juga akan dikemukakan dan seterusnya terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.
“Kita ada masa hampir dua minggu lagi dan senarai nama ini perlu dihantar selewat-lewatnya akhir minggu depan,” jelasnya.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertelingkahan sesama Perikatan Nasional (PN) dalam menentukan calon bertanding.
Walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu berkata, partinya akan bertanding tetapi Pas juga mahu meletakkan calon.
Yang Dipertua Pas Gua Musang, Azman Ahmad berharap parti mereka diberi laluan bertanding di kerusi itu dengan alasan bimbang berulangnya peralihan sokongan pengundi jika wakil Bersatu diletakkan.
Hal sama juga disuarakan Ketua Pemudanya, Mohd Habidin Hanipa yang menegaskan kerusi DUN Nenggiri perlu diberi kepada Pass untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali.
Selain itu, tegasnya 90 peratus daripada jentera pilihan raya di kerusi terbabit adalah dari Pas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri adalah pada 17 Ogos depan.
Tarikh penamaan calon serta pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
BACA JUGA Isu loji sisa pepejal kepada tenaga di 18 lokasi bakal dibangkit di Dewan Rakyat hari ini
Â