Rupanya ada lima permohonan konsert artis luar negara pada 20 Julai, ini sebabnya tarikh dipinda
Tarikh penganjuran konsert melibatkan Artis Luar Negara (ALN) pada 20 Julai ini dipinda sebagai menghormati Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.
Menurut Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL), pihaknya menerima lima permohonan penganjuran konsert ALN pada 20 Julai yang bertindih dengan istiadat itu.
“Berdasarkan Garis Panduan PUSPAL (GPP) perkara 16.1(f) menyatakan mengenai Tempoh Larangan Mengadakan Persembahan Konsert Artis Luar Negara dan Persembahan Luar Negara Berskala Besar, penganjur tidak dibenarkan mengadakan konsert dan persembahan ALN berskala besar pada hari-hari lain yang diputuskan tidak sesuai oleh kerajaan atau kerajaan negeri mengikut mana-mana yang berkenaan.
“Sehubungan itu, pihak penganjur dinasihat tidak mengadakan konsert ALN pada tarikh 20 Julai selain perlu meminda tarikh penganjuran konsert dan mengadakannya pada tarikh baharu yang bersesuaian seperti ditetapkan dalam GPP,” menurut JK PUSPAL dalam kenyataan hari ini.
Untuk maklumat lanjut, JK-PUSPAL boleh dihubungi melalui talian 03-89115355/5384 atau e-mel puspal@komunikasi.gov.my.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan Istiadat Pertabalan itu akan berlangsung pada 20 Julai di Istana Negara.
Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan adalah seperti berikut:
- Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada Khamis, 18 Julai, 5.30 petang, di Masjid Negara, Kuala Lumpur;
- Khutbah Khas dan Solat Jumaat pada Jumaat 19 Julai, 1.15 tengah hari, di Masjid Negara;
- Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Sabtu, 20 Julai, 10 pagi, di Istana Negara, Kuala Lumpur;
- Majlis Santapan Diraja pada Sabtu, 20 Julai, 8.30 malam, di Istana Negara;
- Lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Hospital pada Selasa, 23 Julai, 9.30 pagi, di Hospital Orang Asli Gombak;
- Pameran Raja Kita pada Khamis, 25 Julai 11 pagi, di Muzium Negara; dan
- Majlis Jamuan Teh Diraja pada Sabtu, 27 Julai, 3 petang, di Istana Negara.
BACA JUGA Cikgu Joo fokus dekati pengundi di kawasan kelabu
Â