Walau pelajar cemerlang dijamin masuk matrikulasi, kuota Bumiputera tetap kekal
Walaupun jaminan diberikan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki program matrikulasi tanpa mengira kaum,kerajaan akan terus tegas mempertahan kuota Bumiputera
Perdana Menteri berkata, kuota itu harus dikekalkan kerana keputusan tersebut telah lama dibuat dan berkaitan dengan prinsip Perlembagaan Perkara 153 serta jaminan masa depan Bumiputera Melayu agar tidak berlaku kesenjangan.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan juga pada masa sama kekal mengiktiraf pelajar cemerlang berdasarkan prinsip meritokrasi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan prinsip itu adalah adil dan munasabah kerana mereka yang cemerlang juga merupakan rakyat di negara ini.
“Semalam, saya umum kedua-duanya, tetapi bab kedua ini tidak dilaporkan.
“Hari ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan cerakinkan dengan lebih jelas,” katanya ketika berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri sempena Perhimpunan Bulanan di Putrajaya hari ini.
“Tiap kali kerana kita ada kuota Bumiputera, kadang-kadang dijadikan isu keterlaluan.
“Di satu pihak mahu menafikan hak minoriti, satu pihak lagi nak pertikai prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada Bumiputera terutama secara nisbi dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa dan miskin bandar.
“Maka, kita ambil jalan agak adil dan munasabah. Kalau dia itu rakyat di negara kita, maka harus pelihara.
“Kita juga menerima kenyataan tentang meritokrasi. Siapa dapat 10A tanpa mengira kaum dan wilayah, kita berikan jaminan tempat di matrikulasi atau bagi Bumiputera, ada asasi,” kata Perdana Menteri lagi.
Semalam, Anwar mengumumkan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum atau latar belakang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan peluang memasuki matrikulasi bermula tahun ini.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pengumuman selanjutnya berkaitan peluang melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi kepada semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah.
Fadhlina dilapor berkata, beliau bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir akan meneliti perkara itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya dengan pengumuman lain yang berkaitan.
BACA JUGA Pas mahu bertanding PRK DUN Nenggiri, Bersatu bakal serah tiga nama calon