Demam kepialu ‘serang’ sekolah di Kota Bharu, ibu pelajar dakwa jangkitan makin teruk

Jangkitan demam kepialu (tifoid) yang menyerang sebuah sekolah menengah di Kota Bharu, Kelantan melanda sejak dua minggu lalu.

Ramai pelajar dan guru dikatakan silih berganti dijangkiti penyakit itu yang mula dikesan beberapa hari sebelum Aidiladha lalu.

Lapor BH, sehingga kini, sekumpulan pelajar terutama pelajar yang tinggal di asrama dan guru masih ditempatkan di Hospital Tumpat untuk kuarantin.

Menurut seorang ibu kepada pelajar di sekolah terbabit, jangkitan dipercayai bermula membabitkan pelajar asrama.

“Kemudiannya ia menular dan menjangkiti pelajar sekolah harian dan semakin bertambah teruk ketika ini.

“Sehingga sekarang ada guru dan pelajar masih dikuarantin di Hospital Tumpat,” jelasnya, dipetik BH, yang enggan dikenali.

Ibu berkenaan turut difahamkan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan hadir ke sekolah esok untuk membuat ujian darah.

Sementara itu, seorang bapa kepada pelajar pula memberitahu sebelum ini lebih 30 pelajar di sekolah tersebut mengalami keracunan makanan.

Sehubungan itu, tegasnya, pihak sekolah perlu lebih berhati-hati selepas ini.

Demam tifoid merupakan jangkitan bawaan makanan disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi (S. typhi).

Individu yang dijangkiti membawa bakteria tersebut di dalam darah dan usus.

Mereka boleh mencemari makanan dan minuman melalui penyediaannya dan boleh menjangkiti orang lain.

Lazimnya, gejala akan muncul selepas satu hingga dua minggu tetapi ia juga boleh berlaku dari tiga hari hingga tiga bulan selepas pendedahan.

Antara gejala demam kepialu ialah demam berterusan dengan melebihi 40 darjah Celcisu, cirit-birit, sakit perut dan sakit kepala.

Pesakit juga mengalami letih lesu, kurang selera makan, batuk tanpa kahak, denyutan jantung perlahan serta ruam iaitu bintik merah pada bahagian atas badan.

Penyakit yang merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar oleh najis manusia yang mengandungi bakteria salmonella typhi ini boleh mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal dan secukupnya.

Individu yang tiada tanda atau sembuh dari demam kepialu pula boleh menjadi pembawa bakteria kepialu.

BACA JUGA Ini penjelasan Menteri Kesihatan tentang suasana kerja yang sihat, kondusif

Â