Ini penjelasan Menteri Kesihatan tentang suasana kerja yang sihat, kondusif

Bagi memastikan persekitaran kerja yang sihat dan kondusif kepada semua petugas kesihatan termasuk Pegawai Perubatan Siswazah (PPS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pelbagai usaha telah diwujudkan dan terdapat ikhtiar yang sedang dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu termasuk melalui syor-syor yang telah dikemukakan berdasarkan laporan pasukan petugas khas bagi penambahbaikan budaya kerja perkhidmatan kesihatan.

”Inisiatif pertama adalah melancarkan sistem MY Health pada 1 Oktober 2022 sebagai saluran aduan yang melaporkan isu-isu buli dalam kalangan petugas kesihatan KKM.

”Sehingga 30 Jun 2024, jumlah aduan yang telah direkodkan adalah sebanyak 318 aduan dan daripada jumlah ini, 72 aduan dikemukakan oleh pegawai perubatan dengan empat aduan yang diterima sebagai aduan yang mempunyai unsur buli dan kini dalam peringkat siasatan untuk mengesahkan dan pembuktian.

”Manakala 68 lagi aduan merupakan aduan pelbagai isu yang berkaitan, yang terkait dengan isu perkhidmatan, permohonan untuk naik pangkat, pertukaran dan lain-lain,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Dzulkefly (PH-Kuala Selangor) menjawab pertanyaan daripada Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) dan Ahli Parlimen Jerlun, Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang membangkitkan mengenai isu PPS menghadapi tekanan semasa bertugas seperti tiada waktu rehat, bebanan kerja yang tinggi dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya juga sedang dalam kajian bagi memperincikan lagi tentang hak dan perlindungan yang seharusnya diberikan kepada pemberi maklumat bertujuan melindungi mereka.

”Ini kerana mereka selalunya akan membuat aduan terhadap orang yang lebih senior.

”Bagi menjamin tatakelola, setiap aduan yang telah dikemukakan oleh PPS, sistem My Health itu diuruskan dan dikawal selia sepenuhnya oleh unit integriti KKM,” ujar beliau.

BACA JUGA Lagi pencapaian membanggakan tercipta, KL di tangga ke-13 pemandangan bandar terindah dunia

Â