Lagi pencapaian membanggakan tercipta, KL di tangga ke-13 pemandangan bandar terindah dunia
Satu demi satu pencapaian membanggakan rakyat Malaysia dengan terbaharu Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-13 pemandangan bandar paling indah di dunia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkongsikan pengiktirafan itu di platform X dengan turut memetik grafik terbitan majalah antarabangsa, Architectural Digest.
Menurutnya, beliau bangga dengan pengiktirafan itu yang memperakui rekaan seni bina di negara ini yang turut mengadaptasi pelbagai budaya Malaysia dengan teknologi hijau.
Justeru, Nga mengesyorkan agar ciri-ciri itu boleh diketengah sebagai garis panduan dalam perancangan bandar pada masa akan datang.
“Seni bina yang bercirikan budaya Malaysia yang pelbagai dan teknologi hijau wajar dijadikan hala tuju baharu dalam perancangan bandar kita,” katanya hari ini.

Berdasarkan kedudukan yang diterbitkan portal itu, Manhattan berada di kedudukan pertama, disusuli Hong Kong, Chicago, Dubai, Tokyo, Perth, Sydney dan Shanghai.
Ia diikuti Singapura, Bangkok, Tianjin dan Panama City, Kuala Lumpur, Milwaukee, Auckland dan Toronto.
Artikel diterbitkan portal berkenaan menyifatkan pemilihan Kuala Lumpur bukan saja mengambil kira ketinggian Menara Berkembar Petronas tetapi ciri-ciri seni bina unik yang ada pada mercu tanda Malaysia.
Architectural Digest menyifatkan Menara Berkembar Petronas yang direka oleh Cesar Pelli, menggembleng acuan seni bina gaya pasca moden dan diilhamkan daripada seni bina Islam.
Pemandangan di kota metropolitan yang menjadi jantung pembangunan dan kemajuan Malaysia berlatar belakang langit Kuala Lumpur mengindahkan lagi pemandangan menara yang menjadi mercu tanda negara ini.
Selain Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur turut mempunyai 241 bangunan pencakar langit termasuk Merdeka 118 yang tersenarai bangunan kedua tertinggi dunia.
BACA JUGA MP Machang didesak dedah identiti dalang jual saham MAHB kepada BlackRock
Â