Macam ni baru gempak! Corak baju kontinjen negara dah tukar lebih garang
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memperkenalkan logo baharu dengan corak Harimau lebih garang pada pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.
Menurut Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria, beliau percaya corak baharu yang dipilih itu lebih segar dan boleh menaikkan semangat juang kontinjen negara di temasya terbesar dunia itu nanti.
Katanya, perubahan tersebut dilakukan susulan maklum balas bercampur baur terhadap reka bentuk dan motif sebelum ini yang dilihat tidak menyerlah.
Justeru Norza memaklumkan corak baharu yang dipilih berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang Harimau berwarna kuning lebih jelas dan besar pada sebelah hadapan dan belakang jaket.
“Logo MOM dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang diiringi lima Gegelung Olimpik, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.
“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.
“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, MOM turut memaklumkan kemeja T berkolar berwarna emas akan mengekalkan corak dan motif yang sama tetapi menukar logo MOM yang berlambangkan warna-warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara.
Sebagai badan yang mengelolakan Kontinjen Malaysia di semua Temasya Pelbagai Sukan antarabangsa, Norza berharap corak dan motif lebih terang ini bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen tetapi lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara.
“Disebabkan faktor masa, MOM mendapat kebenaran daripada pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T.
“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses kelulusan di antara mereka dan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu,” katanya.
Dengan keputusan ini, MOM mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada semua anggota Kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti.
BACA JUGA Kedah, Kelantan antara negeri catat kemiskinan melebihi paras nasional
Â