3 faktor pelabur asing pilih Malaysia, ekonomi negara diyakini akan bertambah baik
Pelabur asing terbukti yakin dengan kestabilan politik yang dikecapi Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau optimis ekonomi negara akan bertambah baik walaupun Malaysia mencatatkan kedudukan di tangga ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024.
Menurutnya, hal tersebut dibuktikan dengan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia pada suku pertama 2024.
“Dan kita lihat dari segi FDI, ia telah bertambah pada suku pertama tahun 2024 dan tentunya pelabur-pelabur melihat iaitu nombor satu, dari segi kestabilan politik.
“Yang kedua ialah dari segi kemampuan untuk kelulusan sesuatu permohonan projek, terutamanya untuk mengendalikan kilang-kilang di kawasan-kawasan industri.
“Dan yang ketiganya ialah tentang kebolehpercayaan atau keyakinan (pelabur luar) terhadap kerajaan yang ada sekarang ini,” jelasnya.
Zahid berkata demikian mengulas kedudukan Malaysia yang ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
Tambahnya, kementerian berkaitan antaranya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITi) dan Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi sedang berusaha untuk memberi penjelasan berhubung isu terbabit.
Dalam laporan baru-baru ini, Malaysia menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam WCR 2024 jatuh tujuh anak tangga daripada ranking ke-27 tahun lalu.
BACA JUGA Heboh netizen anggap Syed Saddiq kena ‘tunggang’