Alhamdulillah, hujan dah di Kelantan

Tanpa mengira ideologi politik, Menteri Pertanian dan Keterjaminan, Datuk Seri Mohamad Sabu komited mahu membantu Kelantan yang dilanda kemarau.

Katanya, keadaan di negeri Pantai Timur dibawa ke meja perbincangan kabinet untuk mencari jalan penyelesaian.

“Saya tak kira negeri itu diperintah oleh parti apa, kemarau di Kelantan sudah lima bulan, tanah pun merekah.

“Tanam padi kalau tak hujan tak boleh. Ikhtiar cara pam air di sungai yang kering. Maka kita bincang dalam kabinet, saya kata kena buat pembenihan hujan.

“Saya kata saya sendiri nak naik kapal terbang nak tengok macam mana buat pembenihan hujan,” katanya dalam TikTok.

Dalam video itu, beliau turut menceritakan pengalamannya mengikuti operasi pembenihan hujan bersama pihak berkuasa.

Katanya, tiga hari lalu beliau menaiki kapal terbang berserta empat tong yang berisi air garam.

“Rupanya pembenihan hujan ini air garam, dari Gua Musang, sembur empat paip itu.

“Kemudian kita pergi sampai Kota Bharu patah balik Pasir Emas, pusing di Tumpat apa semua tu, alhamdulillah hari ini hujan lebat di Kota Bharu.

“Saya harap dengan hujan yang turun ini, musim tanaman padi untuk bulan Julai tidak terjejas.

“Kalau terjejas satu musim tak boleh buat, kita akan hilang lagi empat peratus beras negara kita.

“Sebab itulah yang pentingnya rakyat Kelantan rakyat kita. Kita Kerajaan Persekutuan mesti bertanggungjawab,” ujarnya.

Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan memberi tumpuan kepada tujuh lokaliti strategik di sekitar negeri itu, dalam usaha mengatasi masalah penyusutan air Sungai Kelantan dan kemarau berpanjangan yang dihadapi para pesawah.

Tujuh lokaliti tumpuan itu meliputi kawasan sekitar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Dabong, Kemubu dan Manek Urai.

Sebelum ini dilaporkan, kemarau yang melanda negeri itu sejak Mac lalu menyaksikan seramai 3,587 pesawah dibawah selian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengalami kerugian sebanyak RM58 juta.

Pengerusinya Muhammad Husain berkata, jumlah yang direkodkan itu membabitkan keluasan hampir 8,900 hektar sawah di enam jajahan hasil laporan Jawatankuasa Penilai Tabung Bencana Tanaman Padi Peringkat KADA.

BACA JUGA Mekanisme permohonan geran bantuan RM20,000 Sekolah Agama Rakyat antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini

Â