Mekanisme permohonan geran bantuan RM20,000 Sekolah Agama Rakyat antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini

Isu berkaitan Sekolah Agama Rakyat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang layak menerima geran bantuan berjumlah RM20,000 antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (BN-Pokok Sena) kepada Perdana Menteri pada sesi Soal Jawab Lisan.

Ahmad Saad ingin tahu jumlah Sekolah Agama Rakyat di bawah JAKIM yang layak menerima geran bantuan berjumlah RM20,000 sebagaimana yang diumumkan serta mekanisme serta prasyarat permohonan geran bantuan berkenaan.

Selain itu, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) membangkitkan isu undang-undang ’Lemon Law’ bagi melindungi pengguna dalam urusan pembelian kenderaan.

Dalam sesi sama, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta penjelasan Menteri Komunikasi berkenaan status terkini pelaksanaan 5G dwirangkaian dan jumlah pegangan ekuiti yang akan dilepaskan Digital Nasional Bhd kepada syarikat telekomunikasi setelah pelaksanaan projek itu selesai kelak.

Sidang Dewan Rakyat selanjutnya akan menyambung perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 yang dibacakan buat kali kedua semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga dijadual membacakan buat kali kedua Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024.

BACA JUGA 3 faktor pelabur asing pilih Malaysia, ekonomi negara diyakini akan bertambah baik

Â