Enam MP Bersatu anggap perlembagaan parti dipinda dengan niat jahat
Enam Ahli Parlimen yang dihentikan keahliannya daripada Bersatu menganggap perlembagaan parti mereka dipinda dengan niat jahat.
Keenam-enam wakil rakyat itu yang yakin kerusi masing-masing tidak akan dikosongkan mendakwa mereka dijadikan kambing hitam atau dianiaya hanya kerana memilih rakyat berbanding terus menyokong pucuk pimpinan Bersatu.
Menerusi sidang media di Parlimen hari ini, mereka menegaskan bahawa tidak pernah meninggalkan atau berhenti menjadi ahli Bersatu.
Jurucakap kepada kumpulan enam ahli Parlimen terbabit, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata, mereka dipecat daripada Bersatu dan nama mereka dibuang daripada sistem keahlian parti berkenaan.
“Ini jelas membuktikan tiada unsur kami meninggalkan Bersatu atau melompat ke parti lain yang boleh meletakkan kami di Perkara 49(A) Perlembagaan Persekutuan.
“Kekosongan kerusi tidak akan berlaku memandangkan pindaan perlembagaan Bersatu hanya diluluskan pada 1 April lalu, selepas kami membuat keputusan menyokong Kerajaan Madani diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami beranggapan, Perlembagaan Bersatu yang dipinda dengan niat jahat untuk memastikan kami dijadikan kambing hitam atau dianiaya hanya kerana memilih rakyat berbanding terus menyokong pucuk pimpinan (Bersatu),” kata Ahli Parlimen Labuan itu lagi.
BACA JUGA PN terus kekal dalam kepompong yang sama, susah nak keluar, Shahril bidas Hadi