Euro 2024: Turkiye tunjuk prestasi mengejutkan, Austria berputih mata
Turkiye terus mempamerkan prestasi luar biasa pada Euro 2024 selepas mara ke pusingan suku akhir apabila menewaskan Austria 2-1 di peringkat kalah mati awal pagi tadi.
Skuad The Crescent Stars itu mengejutkan Austria dalam perlawanan di Stadium Red Bull Arena seawal minit pertama apabila meraih gol menerusi pemain pertahanan, Merih Demiral.
Austria kemudiannya bergelut untuk memburu gol penyamaan dan hampir mengikat kedudukan pada minit ke-5 tetapi percubaan Romano Schmid berjaya dihalang Demiral.
Pada penghujung babak pertama, skuad kendalian Ralf Rangnick itu sekali lagi mencipta peluang keemasan menerusi Marcel Sabitzer tetapi gagal disudahkan oleh Christoph Baumgartner.
Menjengah separuh masa kedua, Austria semakin galak untuk memburu gol penyamaan.
Bagaimanapun, kali ini penjaga gol Türkiye, Mert Gunok cemerlang menepis rembatan kapten, Marko Arnatovic pada minit ke-51.
Pasukan yang menduduki kedudukan ke-25 dunia itu semakin tertekan apabila Turkiye berjaya menggandakan kelebihan selepas menanduk masuk sepakan penjuru yang diambil Arda Guler pada minit ke-59.
Namun, gol yang dicari Austria akhirnya tiba menerusi penyerang gantian, Michael Gregoritsch yang bijak menyudahkan sepakan penjuru pemain pertahanan, Stefan Posch berselang tujuh minit kemudian.
Austria menggandakan asakan dalam usaha menyamakan kedudukan dengan peluang terbaik tiba pada masa kecederaan tetapi percubaan Baumgartner diselamatkan oleh Gunok dengan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.
Keputusan tersebut menyaksikan Turkiye yang dikendalikan oleh Vincenzo Montella bakal berentan dengan Belanda pada aksi suku akhir minggu ini.
BACA JUGA Heboh netizen anggap Syed Saddiq kena ‘tunggang’
Â