IDE ramal PH bakal menang di DUN Sungai Bakap
Calon Kerajaan Peropaduan dari Pakatan Harapan (PH) berpeluang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, Sabtu ini, menurut kajian dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE).
Pengerusi Eksekutif IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman ketika membentangkan hasil kajiannya hari ini berkata, 53.2 peratus pengundi yang ditemuinya menyatakan akan mengundi PH.
Manakala 43.0 peratus mengundi Perikatan Nasional (PN) dan 3.8 peratus lagi adalah pengundi atas pagar.
Kata beliau, PH boleh memenangi kerusi itu jika berjaya menarik sokongan 36 peratus undi Melayu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, PH hanya berjaya menarik tidak lebih dari 35 peratus undi kaum itu.
“Ketika tinjauan, kami cuma tanya parti apa yang kamu sokong. Yang akhirnya mereka keluar mengundi atau tidak, bergantung kepada sejauh mana jentera parti boleh bawa pengundi mereka keluar. Maka ini jadi penentuan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mohammad Redzuan memberitahu, PH memerlukan sokongan padu India di tiga kawasan daerah mengundi utama iaitu Sungai Bakap (20 peratus); Puteri Gunong (26 peratus); dan Ladang Sempah (25 peratus).
Sokongan pengundi Cina pula dapat dikekalkan dengan jumlah maksimum keluar mengundi.
Kecenderungan pengundian dalam kalangan anak muda pada masa ini pada tahap seimbang dan perlu dipertingkatkan bagi memberi impak positif kepada sokongan.
BACA JUGA Enam MP Bersatu anggap perlembagaan parti dipinda dengan niat jahat