‘Saya datang kali kedua sebagai Menteri Kesihatan, tak akan kompromi kes buli’

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, beliau tidak akan sesekali bertolak ansur tentang kes buli melibatkan doktor pelatih atau pegawai perubatan siswazah (PPS).

”Dalam pusingan pertama mungkin ada yang masih ingat dalam parlimen ke-14, saya mengambil tindakan ke atas seorang ketua jabatan yang agak tinggi pangkatnya, berpangkat JUSA A.

”Saya mengambil tindakan sehingga beliau dipecat dan ia merupakan tindakan yang serius (daripada saya),” katanya di Dewan Rakyat.

Dr Dzulkefly (PH-Kuala Selangor) menjawab pertanyaan daripada Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang bertanya mengenai tindakan diambil setakat ini.

Ketika menjawab pertanyaan itu, Dr Dzulkefly yang juga Naib Presiden AMANAH menegaskan tiada kompromi dalam isu buli ini.

”Menteri Kesihatan kali ini datang kali kedua, saya juga tidak akan kompromi atas apa-apa pun buli yang dijalankan terutama secara bersiri atau berulang.

”Sebelum mengenal pasti sesuatu aduan, kita akan buat membuat siasatan dan seandainya ia mempunyai prima facie cases (bergantung kepada seriusnya kes itu), tindakan-tindakan selanjutnya akan diambil,” tegas beliau.

BACA JUGA 3 faktor pelabur asing pilih Malaysia, ekonomi negara diyakini akan bertambah baik

Â